Klopp bangga aksi The Reds

Iklan
Penyerang muda Liverpool, Kaide Gordon beraksi cemerlang pada perlawanan berkenaan. - Foto Stock Photo

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp gembira dengan prestasi yang dipamerkan kesebelasan The Reds ketika menewaskan kelab Liga Kejuaraan, Shrewsbury pada pusingan ketiga Piala FA.

Menurut Klopp, biarpun menurunkan ramai pemain muda pada perlawanan berkenaan, namun mereka dilihat telah mempamerkan aksi mantap untuk bangkit daripada ketinggalan satu gol kepada lawan bagi memenangi perlawanan.

Iklan
Iklan

"Saya akui, perlawanan ini agak sukar buat kami, tambahan pula setelah kami ketinggalan 0-1 di awal perlawanan.

"Bagaimanapun, pemain-pemain muda yang beraksi dilihat tidak mudah menyerah dan dan berjaya bangkit bagi menjaringkan empat gol selepas itu bagi memastikan kemenangan pasukan,” katanya.

Iklan

Pada perlawanan berkenaan pemain Shrewsbury, Daniel Udoh mengejutkan tuan rumah apabila membuka jaringan pada minit ke-27.

Bagaimanapun Kaide Gordon berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-34, sebelum Fabinho menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-44 dan pemain gantian, Roberto Firmino menjaringkan gol ketiga pada minit ke-78. Fabinho menjaringkan gol keempat pada masa kecederaan.

Iklan

Sementara itu, Klopp turut menafikan khabar angin yang mendakwa kelab berkenaan akan beraksi tanpa kelibat Thiago Alcantara sehingga penghujung musim ini berikutan masalah kecederaan yang dialami pemain berkenaan.

Menurut Klopp, pemain berkenaan sedang menjalani rawatan dan dijangka kembali cergas tidak lama lagi untuk beraksi.

"Dia (Thiago), sebenarnya tidak disisihkan sehingga penghujung musim. Tidak sama sekali kerana buat ketika ini dia sedang menjalani rawatan akibat kecederaan pinggul yang dialaminya.

"Rawatan berkenaan memerlukan masa dan sudah pasti dia tidak akan mengikuti sesi latihan minggu ini, tetapi kami menjangkakan dia akan kembali dalam masa terdekat,” katanya.

Untuk rekod, Thiago yang menyertai Liverpool dari Bayern Munich pada musim 2020, tidak beraksi sejak 16 Disember lalu.

Situasi berkenaan sekali gus menimbulkan persepsi dalam kalangan peminat yang mendakwa pemain berkenaan mungkin disisihkan daripada kesebelasan utama The Reds sehingga tamat musim ini.