Lelaki disyaki ceroboh kebun pisang maut dilanggar

Iklan
Datuk Othman Nanyan

KUANTAN - Seorang lelaki yang disyaki menceroboh sebuah kebun pisang maut selepas motosikal dinaiki dilanggar anak pemilik kebun terbabit di Jalan Paya Lang, Triang Bera, awal pagi semalam.

Mangsa berusia 25 tahun yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Triang sebelum disahkan meninggal dunia.

Iklan
Iklan

Susulan kejadian, polis menahan enam individu termasuk anak pemilik kebun, dua rakan dan pekerjanya masing-masing berusia 19 hingga 47 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Othman Nanyan berkata, turut ditahan dua rakan mangsa berusia 31 dan 32 tahun.

Iklan

Menurutnya, tangkapan itu dilakukan susulan siasatan ke atas kemalangan mendapati, ia berkait kes curi pisang di kawasan itu yang dilaporkan pada hari sama.

"Berdasarkan siasatan awal, anak pemilik kebun bersama dua rakannya datang ke kebun milik keluarganya di Kampung Paya Lang, Mengkuang kira-kira jam 2 pagi setelah diberitahu pekerja terdapat tiga lelaki tidak dikenali menceroboh kawasan itu.

Iklan

"Setelah menyedari kehadiran anak pemilik kebun berkenaan, tiga lelaki itu bertindak melarikan diri menaiki dua motosikal.

"Anak pemilik kebun cuba mengejar motosikal tersebut menggunakan kenderaan pacuan empat roda, namun gagal," katanya.

Othman berkata, bagaimanapun, ketika dalam perjalanan keluar, anak pemilik kebun ternampak lelaki yang dikejar sebelum ini menaiki motosikal sama, lalu bertindak melanggarnya dan terus ke balai polis untuk membuat laporan.

"Mangsa yang cedera akibat dilanggar dibawa ke Klinik Kesihatan Triang oleh rakan dan isteri dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, susulan penahanan semua suspek, polis turut merampas beberapa barang kes untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.