YAN - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah mendesak siasatan menyeluruh dilakukan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki atas kenyataannya sebelum ini yang didakwa mencurigakan.
Ketua AMK Kedah, Mohammed Firdaus Johari berikutan itu berkata, satu laporan polis sudah dibuat pihaknya berpandukan sidang akhbar Azam pada 8 Januari lalu.
Beliau berkata, ia berhubung pengakuan Azam bahawa akaun sistem depositori pusat saham yang didaftarkan atas namanya telah digunakan adiknya, Nasir Baki untuk membeli saham dan membuat pusingan dalam pasaran terbuka.
Menurutnya, laporan dibuat supaya polis menyiasat pengakuan Azam yang didakwa mendatangkan kecurigaan serius kerana berpotensi melanggar peruntukan Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991.
"Akaun sekuriti dibuka dengan depositori pusat wajib menggunakan nama pemilik benefisiari kepada sekuriti didepositkan atau penama yang disahkan.
"Sekiranya beliau melanggar peruntukan ini, terdapat kemungkinan salah laku jenayah lain yang lebih besar boleh timbul," katanya selepas membuat laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan pada Ahad.
Mohammad Firdaus turut menggesa siasatan dilakukan oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) tanpa desakan dan pengaruh mana-mana pihak.
Malah, katanya, Azam juga perlu direhatkan daripada tugas sementara siasatan dilakukan.