Enam ditahan beraksi bahaya di jalan raya

Iklan
Motosikal milik seorang lelaki yang ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu dalam operasi samseng jalanan sekitar Kuantan pada Ahad. - Foto FB Polis Trafik Kuantan

KUANTAN - Seorang pembantu perubatan sebuah klinik swasta antara enam individu yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan atas kesalahan memandu dan menunggang secara berbahaya.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu dan penunggang berusia antara 17 hingga 27 tahun itu ditahan secara berasingan dalam operasi dua hari bermula Jumaat di sekitar daerah ini.

Menurutnya, pembantu perubatan berusia 27 tahun ditahan selepas dikesan memandu sebuah kereta jenis Proton Satria sambil melakukan aksi 'zig-zag' dari Jalan Beserah hingga Jalan Besar di sini pada awal pagi Ahad.

Iklan

"Aksi lelaki itu berjaya dikesan polis lalu ditahan dan di bawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Wan Mohd Zahari berkata, dalam kes berasingan, seorang berusia 22 tahun ditahan selepas motosikal yang digunakan dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Iklan

Wan Mohd Zahari

"Suspek yang bekerja sendiri ditahan untuk pemeriksaan selepas dikesan menunggang dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 3.15 pagi di Jalan Besar di sini pada Ahad.

"Hasil pemeriksaan ke atas motosikal jenis SYM digunakan mendapati nombor pendaftaran yang digunakan didaftarkan atas sebuah kereta jenis Toyota Vios.

"Semakan ke atas nombor casis, polis berjaya mengenal pasti nombor pendaftaran sebenar motosikal tersebut," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu turut memiliki dan positif dadah.

"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Beberapa penunggang turut ditahan kerana menunggang dengan aksi berbahaya termasuk melakukan 'wheelie, Superman dan zig-zag' di lokasi berasingan sekitar Jalan Pintasan Kuantan, Jalan Kampung Padang, Taman Impianku dan sekitar Bandaraya Kuantan," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, bagi kes menunggang motosikal secara berbahaya, mereka ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Hasil operasi itu juga, sebanyak 99 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya.

"Tindakan sita turut diambil terhadap sembilan motosikal dan sebuah kereta atas kesalahan mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran," katanya.