SEREMBAN - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat membantu mangsa banjir disaran menyemak bentuk bantuan yang diperlukan bagi mengelakkan pembaziran.
Presiden NGO Bridged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, pembaziran mungkin berlaku jika mangsa banjir menerima banyak sumbangan yang sama.
Sehubungan itu, beliau menyarankan bantuan yang mahu disampaikan perlulah berfokus.
"Jika ada yang memberi makanan, semua penyumbang juga mahu memberi makanan yang akhirnya berlaku lambakan.
"Mungkin selepas ini boleh beri bantuan barangan elektrik," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum itu, beliau memberitahu, sebanyak 400 kit ibadah dan beg sekolah disumbangkan oleh pertubuhan berkenaan kepada mangsa banjir di kawasan Rantau dan Kampung Jimah Lama di sini baru-baru ini.
Jelas beliau, ia adalah antara barangan keperluan yang rosak ditenggelami banjir.
"Sebelum kita buat keputusan memberi sumbangan, kita tanya dulu beberapa penduduk yang terjejas mengenai keperluan mereka.
"Kalau nak bagi makanan, ia sudah lebih mencukupi. Kita sebaiknya beri apa yang mereka perlukan, bukannya apa yang kita rasa mereka perlu," katanya
Dalam pada itu katanya, pertubuhan itu juga giat membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir di negeri yang terjejas.