PUTRAJAYA - Malaysia dan Indonesia dijangka menandatangani memorandum persefahaman Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (MoU PDI) pada minggu pertama Februari ini di Indonesia, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Saravanan berkata, rundingan Malaysia dan Indonesia antaranya bagi mengawal kos membawa masuk PDI antara RM10,000 dan RM15,000 termasuk kos kuarantin dan levi.
"Sekarang dalam rundingan peringkat akhir bersama Indonesia termasuk memperincikan kos keseluruhan untuk membawa masuk pekerja," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis menandatangani MoU Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di sini pada Isnin.
Malaysia dan Indonesia pertama kali menandatangani MoU PDI itu pada 13 Mei 2006 di Bali dan susulan daripada itu, Protokol Meminda MoU PDI telah ditandatangani pada 31 Mei 2011 di Bandung yang telah tamat pada 30 Mei 2016.
Saravanan turut menafikan dakwaan agensi pembantu rumah asing bahawa kos untuk membawa masuk PDI akan mencecah sehingga RM25,000 berbanding antara RM16,000 dan RM20,000 sebelum pandemik Covid-19.
Peningkatan kos ini dikatakan berlaku susulan kos kuarantin dan tambang penerbangan yang tinggi seperti dilaporkan media baru-baru ini yang memetik kenyataan agensi pembantu rumah berkenaan.
"Saya tidak tahu bagaimana agensi berkenaan boleh mendapat angka kos berkenaan sebab tiada pengambilan pekerja asing ke Malaysia bagi tempoh dua tahun lepas," kata Saravanan.
Mengulas kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud mengenai kadar bayaran RM1,136 bagi pengambilan pembantu rumah asing buat kali pertama, Saravanan menjelaskan, amaun berkenaan hanya melibatkan kos imigresen.
Saravanan berkata, kerajaan Indonesia turut meminta Malaysia menghentikan pengambilan rakyatnya yang datang sebagai pelancong ke negara ini tetapi kemudiannya bekerja sebagai pembantu rumah.
"Kerajaan Indonesia berpendapat ini adalah 'forced labour' (buruh paksa), mereka suruh saya hapuskan sistem ini sebelum mereka tandatangan MoU nanti. Jadi, saya akan bincang dengan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainudin),” katanya.
Menurutnya, Malaysia mengguna pakai pendekatan bahawa mana-mana warga Indonesia yang datang ke Malaysia sebagai pelancong boleh memohon permit kerja. - Bernama