Harimau Muda isi slot kalendar FIFA bulan ini

Iklan
Mohd Saifuddin Abu Bakar - Foto Bernama

SKUAD bola sepak lelaki Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan akan diberi peluang menggantikan pasukan senior dalam perlawanan persahabatan antarabangsa bulan ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya berdepan kekangan untuk menghantar skuad senior bagi mengisi slot berdasarkan kalendar FIFA pada 24 Januari hingga 1 Februari ini susulan faktor ketiadaan jurulatih selain pasukan tempatan yang dilihat giat menjalankan persediaan pra musim Liga Malaysia (Liga-M) 2022.

Iklan
Iklan

"Pasukan B-23 yang membuat persiapan bagi menghadapi Piala AFF 2022 B-23 di Kemboja, Februari depan akan gunakan Kalendar FIFA kali ini (24 Januari hingga 1 Februari).

"Kita telah tulis surat ke beberapa negara untuk dapatkan perlawanan persahabatan antarabangsa bersama pasukan B-23 mereka ataupun kelab negara terlibat,” katanya pada sidang akhbar ketika Taklimat Pasukan Piala Presiden dan Piala Belia 2022 di Petaling Jaya pada Isnin.

Iklan

Turut hadir ialah Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed.

Sementara itu, Mohd Saifuddin berkata, FAM akan berbincang dengan pasukan kelab atau negeri agar dapat melepaskan pemain mereka secara lebih teratur bagi membuat persiapan mengharungi Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei ini diikuti Piala Asia 2022 yang akan berlangsung di Uzbekistan, Jun ini.

Iklan

"Kita harap semua pihak dapat capai situasi menang-menang, tak semestinya kita berkeras semua pasukan lepaskan pemain mereka, mungkin masa ini guna kumpulan pemain tertentu manakala masa lain kumpulan lain pula,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, wakil FAM tidak akan terlibat dalam Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya bagi menyiasat laporan prestasi pasukan kebangsaan pada Piala AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.

Menurut Mohd Saifuddin, badan siasatan diketuai oleh bekas pemain kebangsaan dan mantan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan juga bebas mengadakan mesyuarat sebanyak mana yang mereka mahukan dalam menyiasat kegagalan pasukan negara di negara republik itu.

Malaysia gagal mara ke pusingan separuh akhir di Singapura selepas menamatkan kempen di tangga ketiga Kumpulan B, setelah mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja (3-1) dan Laos (4-0), namun tewas kepada Vietnam (0-3) dan Indonesia (1-4), sekali gus gagal mencapai sasaran FAM untuk mara ke final.

Berikutan itu, ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe meletak jawatan pada 3 Januari lepas dengan mengambil tanggungjawab terhadap prestasi kurang memuaskan pasukannya.

Namun, segelintir penyokong dan pengkritik mendesak supaya pihak pengurusan FAM juga mengambil tanggungjawab ke atas kegagalan tersebut, yang didakwa kerana kelemahan FAM dalam merancang dan mempersiapkan pasukan dengan baik. - Bernama