Khabar angin pembubaran DUN Johor kembali hangat

Iklan
Sidang DUN Johor

JOHOR BAHRU - Khabar angin pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan bertiup kencang sejak berakhirnya sidang DUN Khas pada Khamis lalu.

Menguatkan lagi khabar angin itu, kedudukan kerajaan negeri daripada gabungan Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas hanya berkelebihan satu kerusi selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Kempas yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu.

Iklan
Iklan

Pelbagai ura-ura diperkatakan termasuk bakal timbul ADUN Bebas dan tarikh akan berlangsungnya PRN Johor yang dijangka berlaku selepas selesai bencana banjir di negeri iaitu pada Januari atau Februari.

Jika benar ada dalam kalangan 56 ADUN di Johor mengumumkan mereka keluar parti dan menjadi bebas, sudah tentu ia menggugat kedudukan kerajaan negeri yang kini memiliki 28 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.

Iklan

Desas-desus PRN Johor itu turut menarik perhatian PH negeri terdiri daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang mengakui sudah membincangkan soal PRN ini dalam mesyuarat mereka baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, selepas kematian Osman, PH telah mengadakan mesyuarat bagi menyatakan pendirian mereka berhubung PRN.

Iklan

Katanya, menerusi mesyuarat itu, PH Johor berpendirian PRN di negeri tidak sesuai diadakan berikutan Covid-19 dan ekonomi belum pulih ditambah bencana banjir yang melanda negeri ini.

Namun, PH tetap siap sedia berdepan dengan PRN pada bila-bila masa memandangkan keadaan politik di Johor tidak stabil sekiranya mana-mana ADUN umum keluar, lompat parti atau menjadi ADUN bebas.

"56 ADUN di negeri ini berhak buat keputusan mereka kerana kesan daripada perbuatan mereka itu, mereka sendiri yang tanggung. Lagipun akta lompat parti belum dikuatkuasakan.

"Namun pertukaran kerajaan negeri tidak mudah. Ini kerana selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah dua kali kerajaan negeri bertukar dan tiga kali Menteri Besar bertukar," katanya yang juga ADUN Kota Iskandar.

Bagaimanapun, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkuasa memansuhkan atau membubarkan Dewan Negeri, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

"Jika tiada ADUN yang keluar, lompat atau menjadi bebas, DUN Johor boleh sahaja dibubarkan atas perkenan Sultan Ibrahim.

"Menteri Besar boleh mengadap Sultan Johor dan memberi nasihat kepada baginda untuk membubarkan DUN.

"Sekiranya mendapat restu, baginda akan membubarkan DUN mengikut Undang Tubuh Kerajaan Johor," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

ADUN Puteri Wangsa daripada Bersatu, Mazlan Bujang sebelum ini dikaitkan dengan khabar angin beliau akan mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN Bebas dan tidak menyokong kerajaan sedia ada.

Bagaimanapun pada Sabtu lalu, Mazlan yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri menolak dakwaan dirinya akan menjadi ADUN Bebas yang boleh membawa kepada berlaku PRN Johor.

Bekas Pengerusi Bersatu Johor itu juga menegaskan dirinya masih bersama Bersatu dan berpegang kepada pendirian parti itu.

Pada Ogos tahun lalu, Sultan Ibrahim memberi amaran baginda tidak akan teragak-agak untuk membubarkan DUN Johor jika berlaku cubaan menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada.