VIENTIANE – Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bakal menjana lebih banyak peluang ekonomi buat negara anggotanya, kata Timbalan Presiden Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perindustrian Nasional Laos (LNCCI), Daovone Phachanthavong pada Sabtu.
Beliau berkata, selain memacu pertumbuhan ekonomi domestik, RCEP mampu mengurangkan kos perdagangan dan penghantaran serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan serantau.
"Dengan itu, hasil pertanian Laos akan mempunyai akses pasaran lebih luas, manakala rakyat tempatan turut memperoleh peluang pekerjaan,” katanya.
Tambah Daovone, RCEP bakal mengeratkan lagi hubungan antara Laos dengan China.
"Dengan perkhidmatan tren yang menghubungkan Laos dan China mula beroperasi, jumlah penghantaran barangan semakin meningkat.
"Ditambah pula perlaksanaan RCEP, kos perdagangan komoditi dapat dikurangkan secara ketara,” ujar beliau.
Pada masa sama, Daovone turut menjangka pelaburan asing di Laos akan bertambah pada tahun ini, susulan keutuhan prestasinya dalam eksport.
"Di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), kami (Laos) kini dilengkapi fasiliti lebuh raya dan landasan kereta api dan ia membuka lembaran baharu dalam usaha merancakkan pembangunan negara.
"Saya yakin, ekonomi Asia juga menjanjikan prospek yang cerah,” jelasnya. – Bernama