SHAH ALAM - Pelaburan di Selangor tahun ini dijangka menjadi lebih baik dari 2021 ekoran banjir yang telah surut dan pandemik Covid-19 semakin bertambah baik, kata Exco Industri dan Perdagangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim.
Menurutnya, varian Omicron masih tidak dapat diramalkan dan sehubungan itu beliau menggesa semua pihak supaya berhati-hati, terutamanya semasa perayaan kerana rentas sempadan masih dibenarkan.
"Tanpa sebarang sekatan perjalanan misalnya, ia akan memberi kesan kepada ekonomi domestik dan oleh itu pelaburan dijangka lebih baik tahun ini.
"Ia (pelaburan) akan bergantung kepada perkembangan pandemik dan berharap tiada bencana alam yang akan berlaku lagi dalam beberapa bulan akan datang," katanya kepada pemberita pada sidang media Program Tahun Baharu Cina Dalam Talian Peringkat Negeri Selangor 2022 pada Isnin.
Pada tahun ini, beliau berkata, kerajaan Selangor memutuskan untuk meneruskan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina secara dalam talian melalui Program Kebudayaan Istimewa Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Selangor Tahun 2022.
Ekoran dari pandemik tahun lepas, katanya kerajaan Selangor telah mengambil keputusan mengadakan sambutan Tahun Baharu Cina 2021 secara dalam talian dan mencatatkan 218,000 tontonan dari seluruh negara antaranya Singapura, Taiwan, Macau dan United Kingdom.
Dalam kenyataan hari ini, Invest Selangor berkata, program tersebut akan ditayangkan melalui saluran media dalam talian dan media sosial, dan dihoskan di laman Facebook Mandarin Datuk Menteri Besar Selangor @ami.mbselangor dan Facebook Exco Selangor Teng Chang Khim pada pukul 9 malam 1 Februari ini.
Menurut kenyataan itu Program Kebudayaan Istimewa Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini bakal menyaksikan penampilan seniman dari tiga generasi dengan tiga acara berlatarkan zaman masing-masing, iaitu pada 70-an sehingga 80-an, pada tahun 90-an dan awal 2000 serta zaman 2000.
"Tiga acara ini akan berlangsung selama sejam dan dipengerusikan oleh hos televisyen Yoke Chen dan YouTuber popular Jym Chong. Aturcara program perayaan ini bertujuan untuk menarik penonton pelbagai umur dan seterusnya menyatukan semua lapisan masyarakat untuk bersama meraikan Tahun Baharu Cina,” katanya. -Bernama