Sidang akhbar Abu Zahar esok

Iklan
Abu Zahar

SHAH ALAM - Sidang akhbar Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang yang dijadualkan berlangsung pada Isnin ditangguhkan pada Selasa (esok).

Abu Zahar ketika dihubungi pada Isnin bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci sebab penangguhan berkenaan, sebaliknya hanya memaklumkan ia akan dibuat pada hari berikutnya.

Iklan
Iklan

"Esok 11 Januari, Selasa (sidang akhbar akan dibuat),” katanya menerusi kiriman WhatsApp pada Isnin.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Abu Zahar akan membuat satu sidang akhbar jam 11 pagi pada Isnin bertempat di ibu pejabat SPRM, Putrajaya bagi menjelaskan kenyataannya membabitkan isu pemilikan jutaan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang didakwa tidak dipersetujui oleh enam ahli LPPR lain.

Iklan

Kata Abu Zahar, beliau tidak mempunyai apa-apa perkara yang ingin disembunyikan dan atas sebab itu lagi sidang akhbar akan dibuatnya bagi menyatakan pendirian beliau dan menjawab semua perkara yang dibangkitkan.

Pada Rabu, Abu Zahar Ujang dalam sidang akhbar khasnya mengakui berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan beliau memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Iklan

Menurut Abu Zahar, hasil penjelasan yang dibuat Azam, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.

Kenyataan Abu Zahar itu bagaimanapun disanggah enam ahli LPPR yang lain dan mendakwa kenyataannya berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Azam Baki adalah pendapat peribadi pengerusi lembaga penasihat itu.

Dalam satu kenyataan mewakili Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, mereka menyatakan, ahli lembaga yang lain tidak pernah menyuarakan pendirian sama seperti Abu Zahar.