Curi ikan: Dua sahabat direman

Iklan
Suspek masing-masing berusia 38 dan 46 tahun ditahan di dua lokasi berasingan

KUALA TERENGGANU - Dua sahabat direman 4 hari bermula hari ini selepas disyaki mencuri pelbagai jenis ikan di sebuah restoran ikan bakar di Pantai Batu Buruk, di sini, pada Selasa lalu.

Suspek yang masing-masing berusia 38 dan 46 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan awal pagi semalam di dua lokasi berasingan di sekitar bandaraya di sini.

Iklan
Iklan

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/ Sesyen Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim, mengeluarkan perintah tahanan reman itu terhadap kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Kejadian itu hanya disedari pekerja di restoran berkenaan kira-kira jam 3 petang ketika sedang membuat persiapan untuk memulakan perniagaan.

Iklan

Menurut sumber, sejurus membuka peti ais untuk mengambil ikan yang disimpan, dia terkejut selepas mendapati satu beg plastik besar yang mengandungi pelbagai jenis ikan dan sotong sudah tiada.

"Beg plastik mengandungi beberapa ekor ikan kerapu, siakap, pari dan sotong bernilai keseluruhan kira-kira RM1,500 lesap dipercayai sudah dicuri.

Iklan

"Seterusnya, pihak restoran memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada sebelum ternampak dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal dan melarikan beg plastik tersebut.

"Kedua-dua suspek itu tidak bernasib baik kerana nombor pendaftaran motosikal dinaiki jelas dirakam oleh CCTV itu, malah mereka juga berjaya dikesan dan seterusnya ditahan dengan 'petunjuk' nombor pendaftaran diperolehi," katanya.