Dua unit kondo jadi lokasi aktiviti judi dalam talian

Iklan
Antara peralatan yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan.

KUALA LUMPUR - Aktiviti mencurigakan di dua unit kondominium di Jalan Ampang di sini terungkai selepas polis melakukan serbuan pada malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 8.30 malam itu mendapati premis berkenaan menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan turut menjalankan kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud yang menyasarkan pelanggan dari luar negara.

"Serbuan turut menahan 12 individu terdiri daripada dua wanita warga tempatan, tujuh lelaki dan tiga wanita warga asing berumur antara 23 hingga 38 tahun," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambah beliau, polis turut merampas pelbagai barangan dan peralatan dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian terbabit.

"Antara yang dirampas ialah 32 unit telefon bimbit pelbagai jenama, empat komputer riba, satu set modem dan pelbagai lagi peralatan lain," katanya.

Iklan

Noor Dellhan memberitahu, siasatan dijalankan turut mendapati premis berkenaan beroperasi sejak sebulan lalu dengan sewa sebanyak RM5,000 sebulan," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Akta Sama.

"Kertas siasatan akan dilengkapkan seterusnya dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Serbuan disertai Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.