ISU pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih lagi hangat diperkatakan apabila ada sesetengah pihak mendesak kerajaan supaya membenarkan pengeluaran tersebut untuk kali ketiga menerusi i-Citra.
Mereka mendakwa, pengeluaran sebanyak RM10,000 secara one-off itu mampu meringankan beban mangsa banjir yang terkesan baru-baru ini di samping kesan daripada Covid-19.
Desakan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasakan pengeluaran KWSP tidak perlu kerana Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia dan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sudah pun memadai untuk membantu mereka yang terkesan dengan bencana alam.
Memang benar wang daripada KWSP itu adalah milik rakyat, namun mereka seharusnya berfikir panjang, malah menilai sebaiknya keputusan yang ingin dibuat.
Seperti yang kita sedia maklum, KWSP ditubuhkan pada tahun 1951 sebagai simpanan hari tua pekerja negara.
Namun, buat pertama kali dalam sejarah, kerajaan telah mengadakan program pengeluaran khas i-Lestari pada tahun 2020 sebagai usaha membantu ahli KWSP mengatasi kesan Covid-19 ke atas ekonomi.
Ia kemudiannya disusuli dengan i-Sinar dan i-Citra.
Justeru, seusai pelaksanaan ketiga-tiga program ini, berapakah simpanan kita yang masih berbaki di KWSP? Inilah hakikat yang begitu pahit untuk kita telan.
Difahamkan, orang Melayu dan bumiputera adalah pencarum paling ramai mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 berbanding pencarum berbangsa lain.
Sebanyak 4.4 juta atau 54 peratus daripada pencarum bumiputera kini mempunyai simpanan kurang RM10,000 dan dua juta atau 25 peratus mempunyai wang KWSP kurang daripada RM1,000.
Statistik tersebut dilihat sangat membimbangkan meskipun keadaan itu sudah dapat diagak.
Isu ini juga secara tidak langsung mewujudkan dilema terhadap kerajaan yang mahu membantu rakyat dengan membenarkan pengeluaran KWSP mereka, namun dalam masa sama enggan membiarkan rakyat sengsara ketika hari persaraan susulan ketiadaan wang simpanan untuk digunakan.
Dalam perkembangan sama, Bank Dunia turut memaklumkan Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat yang semakin menua apabila lebih 7 peratus daripada rakyat negara ini berumur 65 tahun dan ke atas.
Menjelang tahun 2056, peratusan tersebut dijangka bakal mencecah 20 peratus daripada keseluruhan populasi.
Ada baik buruknya
Sebenarnya, pengeluaran wang KWSP ada baik dan buruknya.
Kebaikannya kita dapat lihat apabila ia merupakan wang tunai segera kepada rakyat yang terkesan dengan ketidakstabilan ekonomi negara berpunca dari Covid-19, ditambah pula bencana alam yang menimpa negara seperti banjir dan tanah runtuh.
Kebenaran untuk mengeluarkan wang simpanan mereka itu sangat membantu untuk meringankan beban dalam perbelanjaan keperluan asas seperti makanan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan.
Selain itu, ia juga dapat membantu meningkatkan ekonomi negara. Seperti kita tahu perbelanjaan pengguna adalah komponen utama dalam penentu prestasi ekonomi.
Jadi, apabila kurang pendapatan maka pengguna akan kurang membeli sekali gus mengakibatkan sektor perniagaan dan ekonomi negara terjejas.
Dari segi keburukannya pula, ia akan menjejaskan wang persaraan mereka kerana tujuan utama pencaruman adalah untuk hari tua.
Seorang penyelidik dari Institut Penyelidikan Khazanah, Hawati Abdul Hamid mendapati lebih daripada 80 peratus pencarum tidak memenuhi sasaran simpanan minimum sekitar RM240,000 di usia persaraan.
Hal ini sangat serius dan merisaukan kerana jumlahnya dilihat tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos sara hidup pada masa depan lebih-lebih lagi dengan pengeluaran yang telah dilakukan sekarang ini.
Oleh itu, penulis berharap rakyat dapat menggunakan wang KWSP itu dengan sewajarnya kerana dikhuatiri ramai akan jatuh miskin di kemudian hari. Meskipun itu wang anda dan anda mempunyai hak sepenuhnya, namun ini hanya sekadar mengingatkan sesama kita.
* Raja Nur Faznie Aida ialah wartawan Sinar Harian