MERAK Jalanan simpati dengan nasib kira-kira 100 pelajar dari Kampung Kuala Gris, Kuala Krai yang tidak dapat ke sekolah pada hari pertama persekolahan pada Ahad.
Ada yang bersemangat bangun seawal jam 5 pagi untuk ke sekolah, namun hasrat tidak kesampaian apabila kereta api tidak berhenti di hentian Kuala Gris.
Ramai dalam kalangan netizen yang membuat telahan dengan mengatakan drebar kereta api berkenaan terlupa untuk memberhentikan kereta api kerana menjangkakan sekolah masih belum dibuka.
Walau apa pun yang diperkatakan netizen, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah bertindak pantas dengan memohon maaf kepada semua pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah.
Staf yang terlibat juga telah digantung tugas untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan bagi menyiasat punca kejadian.
Pujian juga harus diberikan kepada KTMB yang pantas bertindak untuk mengelakkan kes tersebut daripada terus berulang.
Namun, pada pandangan Merak Jalanan, bagi mengetahui punca berlakunya kejadian berkenaan, tidak perlulah memakan masa hingga dua minggu untuk dilengkapkan kertas siasatan.
Ini kerana tempoh tersebut dilihat terlalu lama jika hendak dibandingkan dengan tahap keseriusan kejadian tersebut. Bagi syarikat yang terlibat dalam memberikan khidmat kepada rakyat, tempoh penyelesaian kepada sesuatu isu perlu dipendekkan seiring dengan kemajuan teknologi ketika ini.
Teguran Merak Jalanan ini bukan sahaja kepada KTMB, tetapi kepada semua agensi lain yang perlu berubah dan lebih efisien menjalankan tugas masing-masing.
Amalan perlu mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan dalam menyelesaikan sesuatu perkara perlu diperbaiki agar mutu perkhidmatan dapat dipertingkatkan dari masa ke masa.