KUALA LUMPUR - Ada yang jatuh cinta dengan keunikan dan juga lenggok yang indah, dan ada pula yang terpikat kerana sejarah.
Walau apa juga alasan yang mendorong, bahasa Turki kini semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat negara ini.
Menggambarkan bahasa itu sebagai bahasa cinta, kuno dan klasik moden, Nur Afifah Nasir, 27, antara yang sedang memahiri bahasa Turki di Kuala Lumpur Yunus Emre Institute (KLYEE).
Mengenali bahasa itu ketika menyertai Program Pertukaran Pelajar di Turki pada 2016, guru sekolah rendah di Pasir Gudang, Johor tersebut berkata minatnya terhadap bahasa Turki tidak pudar walaupun selepas kembali ke tanah air setahun kemudian. Malah katanya dia menjadikan bahasa Turki sebagai kursus elektif sewaktu melanjutkan pengajian di universiti.
"Bagaimanapun, selepas beberapa tahun tidak berpeluang berkomunikasi dalam bahasa itu, saya mahu mengasah kembali kemahiran saya. Justeru, pada Januari tahun lepas, saya mendaftarkan diri di institut berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Manfaatkan kemahiran
Katanya bahasa Turki unik, sekali gus amat menarik untuk dipelajari walaupun pembelajaran adalah secara dalam talian.
"Segalanya dilakukan dalam talian, daripada pendaftaran hinggalah kelas pembelajaran. Ini amat memudahkan kerana saya tinggal di Johor.
"Saya tidak sabar untuk tamat pembelajaran dan berhasrat memanfaatkan sepenuhnya sijil yang bakal diterima kelak,” katanya.
Chua Pei Yong, 31, pula berkata, minatnya terhadap bahasa Turki tercetus berikutan rasa ingin tahu tentang keistimewaan bahasa itu selain terpikat dengan sejarah negara berkenaan.
Rasa ingin tahu tentang warisan Empayar Uthmaniyah, iaitu empayar yang paling lama bertahan dalam sejarah dunia, menyebabkan Chua mendaftar di KLYEE bagi mempelajari bahasa Turki.
Katanya, sebagai seorang penulis, kemahiran berbahasa asing juga adalah satu kelebihan yang banyak membantu dalam kerjayanya.
Pengaruh drama dan filem
”Bahasa ini bagus untuk dipelajari kerana mempunyai banyak persamaan dengan bahasa ibunda kita,” katanya yang turut mempunyai asas bahasa Thai dan Sepanyol.
Pengaruh drama dan filem Turki turut memainkan peranan dalam mencetuskan minatnya untuk mempelajari bahasa itu, kata Chua, menambah drama epik Ertugrul antara kegemarannya.
Peningkatan minat rakyat Malaysia terhadap budaya dan bahasa Turki itu diakui oleh Pengarah KLYEE Dr Omer Altun yang memberitahu Bernama bahawa institut tersebut merekodkan peningkatan pendaftaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, hingga kini, lebih 20,000 orang telah mempelajari bahasa Turki di KLYEE, dan untuk semester ini sahaja kira-kira 4,700 pelajar sedang mengikuti pembelajaran bahasa itu.
"Penularan pandemik turut menyumbang dalam peningkatan pelajar di institut ini kerana kursus dijalankan secara maya,” katanya, menambah pelajar adalah daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
Beliau juga tidak menolak faktor pembelajaran secara percuma antara daya penarik masyarakat, bukan sahaja di Malaysia tetapi dari seluruh pelusuk dunia, untuk mempelajari bahasa Turki di KLYEE.
"Semua (tanpa mengira di mana), boleh mendaftar dan mengikuti kursus kami secara dalam talian,” katanya, menambah institut yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu adalah satu-satunya pusat bahasa Turki di Asia Tenggara.
Beliau juga yakin bahasa Turki berpotensi menjadi bahasa global pada masa akan datang berdasarkan sambutan masyarakat dunia terhadap bahasa itu sekarang.
Malah katanya, bahasa Turki adalah bahasa asing kelima yang paling banyak dipelajari oleh masyarakat dunia.
Pakar bahasa
Mengulas lanjut, Omer berkata, seperti bahasa-bahasa lain di dunia, bahasa Turki juga mempunyai peraturannya sendiri dan mungkin agak mencabar bagi sesetengah individu. Bagaimanapun katanya, KLYEE mempunyai pasukan pakar bahasa dalam pelbagai bidang yang boleh membantu pelajar menangani cabaran tersebut.
"Pasukan kami akan mengenal pasti masalah yang dihadapi dan kemudian akan menyarankan langkah-langkah penyelesaian,” katanya.
Omer juga melihat Malaysia sebagai sebuah yang unik kerana rata-rata rakyat menguasai lebih daripada satu bahasa.
"Dengan kata lain, kami juga beroleh manfaat daripada pelajar-pelajar Malaysia ini,” katanya, menambah kebanyakan pelajar mampu mempelajari bahasa Turki dengan mudah.
Pelan peluasan
Melihat pada trend semasa yang turut dirangsang oleh populariti drama Ertugrul, Omer berkata, KLYEE ada perancangan untuk membuka cawangan di bandar-bandar utama di negara ini.
Ini kerana katanya, KLYEE sebagai institusi gabungan Yunus Emre Foundation yang berpangkalan di Ankara, turut menyokong usaha mempromosikan Turki termasuk dari segi bahasa, budaya, kesenian dan warisan negara itu.
"Kami harap dengan adanya cawangan ini kami boleh membentuk jaringan dengan institusi dan pusat pendidikan setempat, selain bekerjasama dalam projek dan aktiviti membabitkan masyarakat yang lebih luas.
"Kami bukan sahaja mahu mempromosikan budaya kami tetapi juga menggemblengnya dengan budaya masyarakat Malaysia,” katanya.
Menurut Omar, KLYEE juga sedang melakukan persiapan untuk meneruskan semula kegiatan bersemuka dengan masyarakat yang sebelum ini digantung berikutan penularan pandemik COVID-19.
"Seperti yang pernah diucapkan oleh Yunus Emre, ‘Marilah kita saling kenal-mengenal, sayang-menyayang. Tidak ada sesiapapun yang akan hidup selamanya di dunia ini’,” katanya.
Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang kursus bahasa Turki yang ditawarkan oleh KLYEE boleh layari laman sesawang atau media sosial institut itu atau berkunjung sendiri ke pusat berkenaan. - Bernama