KUANTAN - Tempoh pendaftaran bagi mangsa banjir di Pahang yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dilanjutkan sehingga 17 Januari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, keputusan itu dibuat memandangkan masih terdapat mangsa yang belum berbuat demikian.
Menurutnya, proses pendaftaran telah berakhir pada 7 Januari lalu, namun kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh itu.
"Bagi mangsa banjir yang tidak berpindah dan belum berbuat demikian diminta segera menyerahkan borang pendaftaran kepada Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum 17 Januari ini," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Sallehuddin berkata, pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) kini sedang mengemaskini maklumat tersebut dan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya 17 Januari.
"Pembayaran pertama untuk mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS ini dijangka dibuat bermula 24 Januari," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 17,310 ketua isi rumah (KIR) daripada 19,053 KIR yang terjejas banjir dan berpindah ke PPS di negeri tersebut telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang disalurkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sehingga Isnin melibatkan peruntukan RM26.2 juta.
"Penerima adalah dalam kalangan KIR yang dikenalpasti terjejas banjir gelombang pertama dan kedua bagi Monsun Timur Laut 2021/2022.
"Peruntukan BWI kerajaan Persekutuan disalurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada kerajaan negeri dan pembayaran dibuat melalui PDT."Pembayaran kepada baki 1,743 KIR akan dibuat selewat-lewatnya 14 Januari ini," katanya.
Sallehuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, memandangkan proses pembayaran masih berjalan, mangsa yang berpindah ke PPS dan masih belum menerima BWI selepas tarikh itu boleh menghubungi PDT berhampiran.
Kerajaan Persekutuan sebelum ini mengumumkan BWI sebanyak RM1,000 dan RM500 daripada kerajaan negeri untuk mangsa banjir berpindah dan tidak berpindah ke PPS.