JOHOR BAHRU - Seorang bekas pengurus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dua anaknya direman tujuh hari bermula Selasa, bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan kuasa melibatkan pemberian projek kepada dua anaknya bernilai lebih RM50,000.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan pagi tadi.
Sebelum itu, ketiga-tiga suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru kira-kira jam 8.25 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.
Ketiga-tiga suspek berkenaan diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin.
Menurut sumber, lelaki berumur 61 tahun yang sepatutnya dibebaskan daripada tahanan reman pada Selasa, ditahan semula di pejabat SPRM Johor bersama dua anak lelakinya masing-masing berumur 28 dan 34 tahun antara jam 4 hingga 4.30 petang Isnin selepas hadir memberikan keterangan.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang bekas pengurus syarikat GLC yang selesai reman berkaitan kes rasuah bernilai kira-kira RM500,000 ditahan semula SPRM, pada petang Isnin.
Suspek terbabit dilaporkan sepatutnya dibebaskan daripada tahanan reman Isnin, berkaitan kerja kontrak perladangan, selepas direman sejak 6 Januari lalu.
Suspek ditahan di Pejabat SPRM Johor Bahru bersama dua anak lelakinya yang masing-masing berusia 28 dan 34 tahun antara jam 4 hingga 4.30 petang Isnin.
Pada 6 Januari lalu, bekas pengurus syarikat GLC itu ditahan sebelum direman bersama seorang lagi pengurus syarikat bagi membantu siasatan kes kontrak perladangan berkenaan.
Pengurus syarikat yang juga berusia 61 tahun, dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh reman lima hari terhadapnya tamat semalam.
Menurut sumber, sekitar Disember tahun lalu, suspek yang sebelum ini bertugas sebagai pengurus GLC di Segamat telah memberikan beberapa kerja projek kepada dua anaknya yang memiliki syarikat sendiri.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan bekas pengurus GLC itu dan dua anaknya mengikut di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.