Pusat tahfiz terjejas banjir terima bantuan

Iklan
Keadaan 36 pondok Pusat Tahfiz Haji Ahmad Kampung Dala, Lancang, Mentakab, Pahang yang musnah akibat banjir baru-baru ini.

KOTA BHARU - 36 pondok Pusat Tahfiz Haji Ahmad Kampung Dala, Lancang, Mentakab, Pahang yang musnah akibat banjir baru-baru ini mendapat bantuan kewangan berjumlah RM2,000 daripada jemaah Masjid Bandar Kuala Krai pada Selasa.

Imam Tua, Armin Azahari Mamat berkata, bantuan tersebut disalurkan hasil sumbangan orang ramai kepada masjid berkenaan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

Iklan
Iklan

"Kami menerima maklumat berlaku kemusnahan besar membabitkan tahfiz berkenaan dan menunaikan hasrat untuk membantu.

"Keadaan selepas banjir sangat menyayat hati apabila 36 daripada 38 pondok yang menjadi tempat tinggal pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun di tahfiz itu musnah dibawa arus,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan
Imam Tua, Armin Azahari Mamat (dua,kanan) yang turut menyertai misi sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Mentakab, Pahang.

Beliau berkata, sumbangan turut diberikan ke beberapa lagi kawasan di Mentakab, Pahang yang terjejas banjir.

"Mereka juga diberikan barangan seperti keperluan dapur, bantal, selimut, pakaian, toto, sejadah dan wang tunai yang keseluruhan bernilai RM20,000.

Iklan

"Mangsa-mangsa banjir di negeri itu masih lagi memerlukan bantuan terutama kewangan dan perabot,” katanya.

Tambah beliau, sejumlah 50 jemaah turut menyertai konvoi ke Pahang bagi membantu mangsa-mangsa membersihkan kediaman mereka.