7,729 rumah mampu milik tidak terjual

Iklan
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 7,729 rumah mampu milik di bawah harga RM300,000 tidak terjual di seluruh negara sehingga suku ketiga 2021.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kajian lanjut diperlukan bagi membolehkan pihaknya mengetahui punca rumah tidak terjual.

Iklan
Iklan

"Sebab apa? Adakah tempat itu tidak bersesuaian, kadar kelulusan pinjam bank rendah dan sebagainya. Ini perlu dikaji," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan kepada 25 orang Panel Berkepakaran (POE), dekat sini pada Selasa.

Menurutnya, panel tersebut yang terdiri daripada pakar-pakar serta pemain industri berpengalaman luas akan mencari jalan penyelesaian berhubung isu lambakan rumah tidak terjual.

Iklan

"Saya mengharapkan POE ini akan memberi jawapan kepada pembentukan sebuah model baharu dalam aspek ekosistem penyediaan dan pemilikan rumah bagi menjayakan agenda yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu menyediakan 500,000 rumah mampu milik dalam Rancangan Malaysia Kedua belas (RMK-12)," katanya.

Beliau berkata, hasil dapatan dan kajian POE akan dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) pada 31 Januari depan.

Iklan

"Saya lihat POE ini menyeluruh. Harapan dan tujuan agar kita dapat melihat perkara-perkara yang perlu dilihat sebagai model baharu dalam aspek penyediaan dan pemilikan hartanah," katanya.

POE dipengerusikan oleh Reezal sendiri selaku Menteri KPKT manakala bekas Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Phesal Talib sebagai Pengerusi Ganti.

Ia turut dianggotai antaranya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Tan Sri Abdul Wahid Omar; bekas Ketua Setiausaha KPKT Tan Sri Arpah Abdul Razak; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Zamani Abdul Ghani; Pengarah Penyelidikan Khazanah Research Institute; Dr Suraya Ismail dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha.

Ujar Reezal, pelantikan tersebut merupakan inisiatif strategik untuk menggabungkan pengetahuan, pengalaman dan kepakaran dalam membantu kerajaan melaksanakan dasar serta program perumahan terbaik buat rakyat.

"Sektor perumahan berhadapan dengan lima cabaran yang perlu dilihat secara bersama POE iaitu ketersediaan rumah, aksesibiliti pemilikan, kemampuan pemilikan, kualiti perumahan dan daya huni," katanya.