KUANTAN - Satu solusi yang lebih holistik dan terbaik perlu dirancang bagi mengelak kesan buruk akibat banjir di negara ini terus berulang pada masa akan datang.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, sudah tiba masanya perkara itu diberi perhatian serius oleh kerajaan Persekutuan dan negeri kerana banjir fenomena alam yang tidak dapat dielakkan dan akan terus berlaku.
Menurutnya, melalui kaedah atau perancangan terbaik, kesan akibat bencana itu dapat ditangani dan mengelak kemusnahan yang lebih buruk seperti mana berlaku di beberapa negeri termasuk Pahang baru-baru ini.
"Kaedah untuk mengatasi kesannya perlu ada sama ada melalui teknologi atau pendekatan yang lebih berkesan.
"Kita boleh jadikan contoh negara maju, Jepun misalnya, walaupun negara itu terdedah dengan pelbagai bencana alam termasuk banjir, gempa bumi, taufan dan sebagainya namun mereka mampu menguruskannya dengan baik.
"Begitu juga dengan Belanda, walaupun kebanyakan tanahnya berada di bawah paras laut, namun banjir tidak berlaku dan sudah tentu ada kaedahnya," katanya dalam satu temubual bersama Astro Awani pada malam Isnin.
Mohd Sharkar berkata, tidak dinafikan usaha itu memerlukan peruntukan besar hingga mencecah berbilion ringgit, namun ia jauh lebih baik jika dibandingkan dengan nilai kerugian yang terpaksa ditanggung sekiranya kemusnahan besar akibat banjir ini terus berulang.
"Kesan banjir ini bukan hanya melibatkan kemusnahan harta benda malah turut melibatkan nyawa.
"Kemusnahan dan kehilangan yang berlaku jika berulang-ulang akan memberi kesan yang sangat negatif kepada mangsa banjir.
"Ramai dalam kalangan mereka terpaksa mengambil masa yang lama untuk kembali kepada kehidupan normal setelah kehilangan kediaman dan semua harta benda musnah," katanya.
Beliau berkata, sebagai contoh bencana banjir yang melanda Temerloh dan beberapa daerah lain di negeri terjejas teruk baru-baru ini, ada mangsa hilang rumah dan semua harta benda sehingga mereka terpaksa memulakan kehidupan dengan kosong.
"Jadi seperti mana negara maju, kita juga perlu ke arah itu untuk mencari jalan bagi menghadapi banjir secara sistematik supaya ia tidak lagi memberi kesan yang besar kepada penduduk,” katanya.