Sindiket keldai akaun tawar komisen RM300 satu kad ATM tumpas

Iklan
Abdul Majid (tengah) menunjukkan dolar yang berjaya dirampas ketika sidang akhbar di IPK Melaka di Bukit Beruang, pada Selasa.

MELAKA - Sindiket keldai akaun didalangi tujuh individu termasuk seorang wanita warga tempatan dan wanita warga Vietnam tumpas selepas kegiatan mereka sejak Oktober tahun lalu dikesan polis.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohamad Ali berkata, mereka yang berusia 21 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan di empat lokasi berasingan di Alor Gajah, Kepong, Kuala Lumpur, Seri Kembangan dan Kajang, Selangor bermula dari 4 Januari jam 12 tengah hari hingga 5 Januari jam 9.30 pagi.

Menurutnya, tangkapan dibuat selepas tukang kebun berusia 30 tahun membuat laporan polis di Balai Ayer Keroh sehari sebelum risikan dan tangkapan dilakukan.

Iklan

Katanya, lelaki itu menyerahkan dua kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya kepada sepasang kekasih kerana dijanjikan tawaran komisen RM300 bagi setiap kad ATM yang diberikan serta mangsa diminta untuk mendapatkan kad ATM dari rakan lain.

"Seramai lima rakannya berminat dengan tawaran itu dan menyerahkan kad ATM masing-masing.

Iklan

"Mangsa kemudian dibawa dua lelaki ke sebuah rumah di Sri Kembangan dan berasa curiga serta mengesyaki mereka merupakan ahli sindiket penipuan menggunakan kad ATM," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini pada Selasa.

Sebahagian kad ATM yang dirampas dalam serbuan itu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan itu polis merampas sebanyak 58 keping kad ATM pelbagai bank.

Kata beliau, semakan lanjut ke atas semua kad ATM itu berjaya mengenal pasti penglibatan kesemua suspek dalam pelbagai penipuan seperti kes penipuan tawaran kerja tidak wujud serta penipuan pelaburan tidak wujud.

Tambahnya, dengan kejayaan itu Jabatan Siasatan Jenayah Komersil berjaya menyelesaikan 36 kes penipuan dalam talian dan daripada jumlah itu tiga kes membabitkan Melaka dengan jumlah kerugian RM26,069.22.

"Semakan juga mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Kami percaya sindiket ini turut didalangi seorang warga asing berdasarkan barang rampasan termasuk wang tunai dan dolar AS," katanya.

Kesemua suspek direman sejak 4 Januari lalu hingga 11 Januari dan kes disiasat Kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.