Jabatan Perhutanan pantau lokasi berisiko tinggi terdedah bencana

Iklan
Takiyuddin

SHAH ALAM - Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan terus mengenal pasti dan memantau kawasan berisiko tinggi berlakunya insiden lambakan kayu hanyut, gelinciran tanah dan kejadian kepala air.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan negeri berikutan insiden tersebut direkodkan berlaku di beberapa buah negeri ekoran hujan lebat serta banjir besar.

Iklan
Iklan

"Pada masa ini, JPSM mengguna pakai aplikasi sistem 'Forest Monitoring Using Remote System' (FMRS), termasuk penggunaan dron bagi tujuan penguatkuasaan, pemantauan dan pengesanan perubahan litupan kawasan hutan secara waktu sebenar.

"Saya juga mengarahkan JPSM untuk mengemukakan laporan terbabit dan langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan.

Iklan

''Pada masa sama, JPSM turut diminta kenal pasti kawasan Taman Eko Rimba dan hutan lipur yang belum dipasang sistem amaran awal untuk pemasangan segera bagi memastikan kawasan itu selamat kepada penduduk setempat dan serta awam," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Takiyuddin berkata, dasar kerajaan Persekutuan dalam sektor pengurusan perhutanan adalah jelas iaitu berasaskan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan atau Sustainable Forest Management (SFM).

Iklan

Dasar itu merangkumi pelaksanaan sistem tebangan memilih atau 'Selective Management System' (SMS) sejak 1978, Catuan Tebangan Tahunan (CTT) 1981 dan persijilan pengurusan hutan berdasarkan 'Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification' (MC&I) 2012.

Beliau berkata, urus tadbir sektor perhutanan dikawal selia melalui Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] dan ordinan/enakmen perhutanan peringkat negeri.

"Kerajaan turut memastikan pengawalan aktiviti pengusahasilan di hutan tanah kerajaan melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia bertajuk 'Panduan Amalan Baik Hutan (Good Forest Practices) untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan' pada 2016. Ia sebagai rujukan utama kepada jabatan perhutanan negeri.

"Garis panduan ini mengambil kira kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti hutan. Ia memberi penekanan terhadap beberapa amalan baik hutan seperti tidak membenarkan aktiviti pengusahasilan semasa musim hujan.

"Selain itu, keperluan penyediaan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi pengusahasilan yang melebihi 500 hektar, penandaan kawasan pengusahasilan dan larangan tebangan pokok dalam zon penampan sungai," katanya.

Takiyuddin menegaskan, kementeriannya komited dalam memastikan kekayaan sumber asli terus dijaga, diuruskan dengan mampan dan digunakan secara bertanggungjawab.

"Saya menyeru semua pemegang taruh, termasuk kerajaan negeri selaku pengurus sumber asli di peringkat negeri untuk bersama-sama kementerian memastikan dasar kerajaan Persekutuan dilaksana dan dipantau demi pembangunan negara mampan seterusnya masa depan generasi akan datang," katanya.