MB diminta campur tangan isu perlombongan pasir

Iklan
Noor Ismady (kanan) bersama Meor Razak dalam sidang akhbar di Pejabat Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) di sini pada Selasa.

LUMUT - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad diminta campur tangan berhubung isu perlombongan pasir silika di Pantai Pasir Panjang, Segari dekat sini.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, biarpun arahan pemberhentian sudah dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri, namun kerja-kerja di lokasi dikesan masih diteruskan oleh pihak berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan seumpama itu disifatkan telah membelakangi keluhuran undang-undang.

"Walaupun tanah itu berstatus tanah milik persendirian tetapi ia tidak mempunyai kelulusan untuk melakukan sebarang aktiviti.

Iklan

"Jadi tindakan lebih tegas perlu diambil dalam isu ini dan kita berharap menteri besar dapat campur tangan supaya pihak yang menjalankan aktiviti itu tidak berani lagi meneruskan kerja mereka," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) di sini pada Selasa.

Beliau berkata, aktiviti perlombongan dijalankan itu adalah jelas bercanggah dengan Rancangan Fizikal Negara, garis panduan pemuliharaan dan pembangunan kawasan sensitif alam sekitar untuk kawasan pesisiran pantai dan rancangan fizikal zon pesisiran pantai.

Iklan

Justeru katanya, ia dibimbangi akan memberi kesan jangka panjang terhadap kelestarian pantai di situ.

"Memang tanah milik dia (sebuah syarikat) tetapi dari segi produser, pembangunan tidak boleh dilakukan sesuka hati, kena ikut undang-undang sedia ada sebab itu kita ada rancangan fizikal negara.

"Jika buat kerja pembersihan sekalipun perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kuasa, Noor Ismady Ahmad Radzuan kecewa selepas dimaklumkan oleh penduduk yang mengatakan kerja-kerja lapangan masih dijalankan di lokasi terbabit.

"Tinjauan mendapati kerja-kerja dilakukan berhampiran muara Sungai Putu yang menjadi lokasi banyak penyu mendarat, justeru kami bimbang jika tidak dihentikan kerja ini ia akan mengganggu kawasan itu," katanya.

Dalam laporan sebelum ini menyebut, syarikat yang juga pemilik tanah perindustrian di Tanjung Hantu, Segari, sangat konsisten untuk memenuhi semua piawaian alam sekitar dan sebarang kerja yang dijalankan adalah mematuhi sepenuhnya piawaian ditetapkan.

Dilaporkan, kerja penggantian dan pengeluaran pasir yang dilakukan ketika ini untuk penyediaan tanah berkenaan bagi mengelak penerokaan haram pertanian, kecurian pasir dan lain-lain aktiviti yang mengancam alam sekitar.

Turut dilaporkan, kerja yang dijalankan oleh pihak terbabit di kawasan itu ketika ini juga didakwa tidak menimbulkan sebarang risiko alam sekitar dan bersifat sementara.