Terengganu sasar 3 juta pelancong tahun ini

Iklan
Ariffin (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Burhanuddin Hilmi (dua dari kiri) dan Mazidah (dua dari kanan) di Permai Hotel, di sini pada Selasa.

KUALA TERENGGANU – Tiga juta pelancong dijangka berkunjung ke negeri Terengganu pada tahun ini bagi menikmati pelbagai keunikan dan keindahan percutian di negeri ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, sasaran itu berkurangan sebanyak 2 juta berbanding tahun lalu berikutan pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, kerajaan negeri akan mengkaji semula jumlah sasaran 3 juta pelancong itu selepas enam bulan bergantung kepada keadaan semasa Covid-19.

"Kita telah rancang 22 acara utama berkaitan pelancongan dan kebudayaan sepanjang tahun ini seperti program ikonik candat sotong, Tahun Melawat Kenyir serta karnival kebudayaan Terengganu.

Iklan

"Semua program utama ini diharap dapat menarik kehadiran pelancong ke Terengganu sekali gus memberi impak kepada manfaat rakyat serta kelangsungan sektor pelancongan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Terengganu Incorporated dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Permai Hotel, di sini pada Selasa.

Iklan

Hadir sama Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun dan Rektor UiTM Cawangan Dungun, Prof Dr Mazidah Puteh.

Melalui MoU itu, hampir 50 pelajar UiTM Cawangan Dungun akan menjalani latihan industri di empat hotel kendalian Terengganu Inc iaitu Permai Hotel, Primula Beach Hotel, Paya Bunga Hotel dan Duyong Marina & Resort pada setiap tahun.

Kerjasama strategik itu juga membolehkan pertukaran kepakaran, pengetahuan dan kemahiran antara kedua-dua pihak bagi tujuan penambahbaikan mutu perkhidmatan masing-masing.

Sementara itu, mengulas penyertaan Terengganu dalam Dubai Expo 2020 di Dubai pada bulan lalu, Ariffin memaklumkan pelancong negara Timur Tengah itu menunjukkan minat yang tinggi untuk datang ke negeri ini.

"Antara produk pelancongan yang menjadi tarikan utama mereka adalah kecantikan pulau-pulau di sini dan kita akan adakan susulan dengan pihak mereka pada Mac nanti,” katanya.