PUTRAJAYA - Harga petrol RON97 naik sebanyak 8 sen seliter daripada RM2.46 seliter kepada RM2.54 seliter sementara harga RON95 dan diesel kekal pada harga RM2.08.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).
"Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 16 Mac 2019 sehingga 22 Mac 2019 sepatutnya adalah sebanyak RM2.24 seliter dan RM2.37 seliter masing-masing," katanya.
Bagaimanapun, harga runcit produk petroleum RON95 dan diesel bagi tempoh di atas adalah dikekalkan berikutan keputusan kerajaan untuk menyekat kenaikan harga runcit produk petroleum demi mengurangkan beban kewangan rakyat.