PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melantik 25 individu termasuk pemain industri yang mempunyai pengalaman luas serta mendalam berkaitan sektor perumahan dalam negara untuk menganggotai Panel Berkepakaran (PoE).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pelantikan itu satu inisiatif strategik kementerian menggabungkan pengetahuan, pengalaman dan kepakaran pelbagai pihak dalam membantu kerajaan melaksanakan dasar dan program perumahan terbaik untuk rakyat.
"Saya nampak mereka yang mewakili PoE agak menyeluruh dengan harapan dan tujuan dapat kita melihat model baharu dalam aspek penyediaan dan pemilikan hartanah dalam negara.
"Ahli-ahli PoE dilantik untuk tempoh dua tahun dan mereka dipilih berdasarkan latar belakang yang merangkumi keseluruhan (sektor perumahan) antaranya ada ahli ekonomi, akademik, pemain industri, pemaju hartanah, pakar perundangan, persatuan pembeli rumah, ahli perbankan dan bekas pegawai tinggi kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Watikah Pelantikan kepada 25 orang PoE di sini pada Selasa.
Beliau berkata, PoE telah diminta untuk membincangkan cabaran dan isu-isu yang membelenggu sektor perumahan iaitu ketersediaan rumah, aksesibiliti pemilikan rumah, kemampuan pemilikan rumah, kualiti perumahan dan daya huni.
Reezal Merican berkata, satu pendekatan baharu perlu dirangka bagi melebarkan akses pemilikan kediaman khususnya kepada generasi muda dan cabaran mereka kini adalah menyediakan wang pendahuluan atau deposit bagi membolehkan mereka memiliki kediaman sendiri.
Selain itu, beliau berkata, PoE juga telah diminta untuk mencari punca dan penyelesaian berkenaan isu lambakan 7,729 rumah mampu milik di bawah harga RM300,000 yang tidak terjual di seluruh negara hingga suku ketiga 2021.
"Saya harap PoE ini adalah jawapan kepada pembentukan sebuah model baharu dalam aspek ekosistem keseluruhan penyediaan dan pemilikan rumah bagi menjayakan agenda digaris Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu rumah mampu milik 500,000 unit dalam Rancangan Malaysia Ke-12," katanya.
Reezal Merican berkata, hasil perbincangan awal PoE juga akan dibentangkan di Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara yang akan dipengerusikan Ismail Sabri pada 31 Januari ini, yang akan turut dihadiri oleh agensi kerajaan berkaitan, kerajaan negeri serta semua pihak berkepentingan.
PoE dipengerusikan oleh Reezal Merican sendiri manakala bekas Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Phesal Talib sebagai Pengerusi Ganti.
Ia turut dianggotai antaranya Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, bekas Ketua Setiausaha KPKT, Tan Sri Arpah Abdul Razak, bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Zamani Abdul Ghani, Pengarah Penyelidikan Khazanah Research Institute, Dr Suraya Ismail dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha. - Bernama