Cuaca lebih lembap diramal berlaku di benua maritim ASEAN

Iklan
Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) menjangkakan keadaan cuaca yang lebih lembap di bahagian tengah benua maritim rantau untuk minggu akan datang.Gambar hiasan

JAKARTA - Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) menjangkakan keadaan cuaca yang lebih lembap di bahagian tengah benua maritim rantau untuk minggu akan datang.

Benua maritim melingkungi kepulauan Indonesia, Borneo, New Guinea, Kepulauan Filipina, Semenanjung Malaysia dan laut sekitarnya.

Iklan
Iklan

Keadaan yang lebih kering berkemungkinan berlaku di Semenanjung Malaysia, selatan Vietnam, dan sebahagian besar utara Filipina dan kawasan sekitarnya, kata pusat itu dalam kemas kini bencana mingguannya.

Terdapat peningkatan kecil kemungkinan berlaku hujan yang sangat lebat di Borneo Barat dan Pulau Jawa, manakala pertambahan kecil peluang untuk keadaan kering berpanjangan di selatan Thailand, selatan Vietnam dan utara Filipina.

Iklan

"Kemungkinan berlaku peningkatan sederhana untuk cuaca panas melampau di beberapa bahagian di Myanmar.

"Fenomena La Niña masih wujud di Pasifik. Pada skala masa bermusim, La Niña membawa keadaan yang lebih lembap ke kebanyakan rantau ASEAN,” kata pusat itu.

Iklan

Pada minggu pertama 2022, berlaku 30 bencana melibatkan 22 banjir, tiga tanah runtuh dan lima yang berkaitan dengan angin, menjejaskan rantau ini, khususnya Indonesia dan Malaysia.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) melaporkan hujan lebat mengakibatkan banjir, tanah runtuh dan puting beliung di Sumatera, Jawa, Nusa Tenggara, Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan Papua.

Begitu juga di Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma) melaporkan banjir berlaku di negeri Melaka, Johor dan Pahang.

Sepanjang minggu lalu, data AMC menunjukkan purata hujan tujuh hari yang tinggi berlaku di seluruh Papua, Sulawesi, Kalimantan dan bahagian selatan Sumatera serta bahagian utara Jawa Barat, Indonesia dan Sarawak serta Semenanjung Malaysia. - Bernama