565 kes tangkapan langgar Akta Perikanan tahun lepas: DOF

Iklan
Vesel tersebut didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan kerana menangkap ikan menggunakan pukat kurang lapan batu nautika dari pantai atau pulau.- Foto 123rf

PUTRAJAYA - Sebanyak 565 kes melibatkan tangkapan kerana melanggar Akta Perikanan 1985 direkodkan tahun lepas sehingga November, menurut Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

DOF dalam kenyataan pada Selasa berkata, pihaknya turut menerima 209 aduan mengenai kegiatan pelanggaran akta itu, selain melupuskan 12 vesel dan 5,156 barang rampasan sepanjang tempoh tersebut.

Iklan
Iklan

"DOF mengambil serius aktiviti yang melanggar Akta Perikanan 1985. Menerusi Pejabat Perikanan Negeri, program Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan (MCS) telah dijalankan bagi mengekang aktiviti yang tidak bertanggungjawab di perairan negara dan juga kawasan darat," menurut kenyataan itu.

Menurut jabatan itu, sepanjang 2021, sebanyak 15 program MCS telah dijalankan oleh Bahagian Perlindungan Sumber Ibu Pejabat Jabatan Perikanan.

Iklan

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, sebanyak lima tangkapan telah dibuat oleh Perlindungan Sumber Negeri di Johor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang pada 9 dan 10 Januari lepas.

Di Johor pada Ahad lepas, tiga anggota dari Perlindungan Sumber Tampoi telah menahan sebuah vesel Zon B yang sedang menunda di jarak tujuh batu nautika dari Pantai Punggor, Batu Pahat, kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu beroperasi di luar waktu yang dibenarkan antara jam 6 pagi hingga 7 malam.

Iklan

Sementara itu, pada Isnin sepasukan anggota bot ronda PL91 dari Perlindungan Sumber Kampung Acheh, Perak, telah ke Perairan Pulau Sembilan dan mendapati sebuah vesel nelayan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda pada jam 11.05 pagi.

"Vesel tersebut didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan kerana menangkap ikan menggunakan pukat kurang lapan batu nautika dari pantai atau pulau,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, program MCS yang dijalankan oleh Perlindungan Sumber Kuala Kedah pula telah berjaya menjumpai sebuah vesel yang sedang menggunakan rawa surong di 0.4 batu nautika dari Pantai Kuala Kedah sekitar jam 4 petang Isnin.

Di Pulau Pinang, Operasi Bubu Naga di Perairan Teluk Kumbar melibatkan empat anggota telah menahan sebuah sampan tidak bernombor bersama sembilan unit bubu naga dan kesemua barang rampasan telah dibawa ke Pangkalan Hadapan Batu Maung bagi tindakan selanjutnya.

Selain itu, DOF meminta orang awam membuat aduan berkaitan aktiviti yang melanggar Akta Perikanan 1985 menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) atau menghubungi Hotline FISHCOM di talian 03-8888 5019. - Bernama