RANTAU PANJANG - Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan pasukan pelaksana di setiap negeri diharapkan dapat menyediakan maklumat lengkap secepat mungkin bagi memudahkan urusan bantuan kerajaan membaiki rumah rakyat yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.
Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ruji Ubi berkata, kerajaan menyediakan tiga kategori bantuan iaitu kewangan tunai kerosakan bawah RM5,000 dan pembaikan bermula RM5,000 hingga RM15,000.
"Selain itu kita juga ada program pembinaan semula rumah melibatkan tempoh masa siap enam bulan melalui kontraktor lantikan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Kita harap pihak kerajaan negeri melalui pejabat-pejabat daerah juga dapat membantu mempercepatkan pengumpulan maklumat ini supaya urusan bantuan dapat dipercepatkan," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Beliau sebelum itu menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima bantuan, Zulkifli Rahman, 60, di Kampung Putat 7 di sini.
Zulkifli menerima bantuan wang ehsan RM1,000 dan sumbangan pembelian barang keperluan sebanyak RM2,500 selain pembaikan atap rumah yang bocor akibat banjir baru-baru ini.
Sebanyak 10 buah rumah akan dibaiki di jajahan Pasir Mas sebagai projek perintis di negeri Kelantan.
Mengulas lanjut mengenai proses pengumpulan maklumat, Ruji memberitahu, pihak PKOB akan membuat penilaian dalam masa sebulan dan anggaran kos akan dilakukan bersama KPKT dan KPLB sebelum diserahkan kepada pihak pelaksana.
Beliau berkata, rakyat juga tidak perlu risau memandangkan penerima sumbangan berkenaan adalah terdiri daripada mereka yang tersenarai daripada penerima wang ihsan.
"Sehingga kini kami belum mendapat maklumat lengkap untuk setiap negeri cuma di Selangor dan Pahang kini mencatatkan jumlah penerima paling tinggi. Kelantan pula ada lebih 6,000 penerima manakala penerima di Sabah pula melebihi 5,000.
"Kita harap lebih ramai penerima yang dapat dikenalpasti selepas ini bagi memastikan nasib rakyat dapat dibela sebaik mungkin terutamanya mereka yang terjejas teruk akibat banjir," jelasnya.
Sementara itu, Zulkifli yang hanya bekerja kampung melahirkan rasa bersyukur kerana kediamannya yang dimasuki air dan rosak teruk akibat banjir baru-baru ini akan dibaiki selepas ini.
Katanya, dia mendiami rumah pusaka tersebut sejak lebih 30 tahun lalu amat terharu dengan bantuan berkenaan kerana ia bagaikan durian runtuh padanya yang hanya hidup sebatang kara.