Gaji pemain Melaka United tertunggak tiga bulan

Iklan
Melaka United

SAINGAN Liga Malaysia (Liga-M) musim ini bakal bermula tidak lama lagi, namun Melaka United FC dilaporkan masih belum melunaskan gaji pemainnya pada musim lalu.

Perkara itu disahkan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi satu kenyataan yang turut menzahirkan solidariti kepada barisan pemain Hang Tuah dan skuad Piala Presiden.

Iklan
Iklan

Dalam kenyataan itu, PFA memaklumkan tunggakan gaji yang melibatkan pemain skuad utama Melaka United adalah sebanyak tiga bulan manakala tunggakan bagi skuad Piala Presiden membabitkan dua bulan setengah.

"PFAM sudah menghantar notis tuntutan kepada pengurusan Melaka United dan menggesa agar tunggakan dilunaskan selewat-lewatnya pada 19 Januari 2022.

Iklan

"PFAM ingin mengingatkan agar pasukan mengambil serius berkenaan isu pembayaran gaji memandangkan ini bukan kali pertama membabitkan pasukan Melaka United.

"Pemain sudah memberikan kerjasama dan memahami kekangan pasukan dengan memberikan tempoh yang sewajarnya. Semoga isu ini dapat diselesaikan dalam kadar yang segera," kata kenyataan PFAM pada Selasa.

Iklan

Sementara itu, pengurusan Melaka United FC memberi jaminan akan menyelesaikan masalah tunggakan gaji kesemua pemain mereka dalam masa terdekat.

"Berhubung isu tunggakan gaji pemain dan pegawai Melaka United FC musim 2021, pihak pengurusan kini dalam proses akhir penstrukturan semula dari segi pentadbiran dan kewangan.

"Semua tunggakan akan diselesaikan dalam masa terdekat bagi memastikan perancangan bagi tahun 2022 berjalan lancar. Pihak pengurusan menghargai kesabaran dan kerjasama daripada pemain dan pegawai," kata kenyataan itu.