SEGAMAT - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor wajar ditangguhkan buat sementara waktu susulan bencana banjir dan peningkatan kes Covid-19 membabitkan varian Omicron di negeri tersebut ketika ini.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, semua pihak yang terlibat perlu bersabar kerana Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU15) akan diadakan dalam tempoh tidak sampai setahun sahaja lagi.
"Sebagai wakil orang muda, saya merayu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor kalau boleh tangguhkan lah dulu PRN ini.
Tak lama pun, PRU paling lambat lagi setahun, buat masa ini bermuafakatlah jaga kepentingan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai kira-kira 200 ahli Armada Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah melakukan kerja-kerja pembersihan pascabanjir di Kampung Spang Loi, Batu Anam, di sini pada Selasa.
Beliau ditanya persediaan mengenai desas-desus pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN yang kononnya akan diadakan dalam masa terdekat.
Khabar angin mengenai pembubaran DUN dan PRN Johor itu bertambah kuat apabila parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH) Johor mengakui ada membincangkan perkara itu dalam mesyuarat mereka baru-baru ini.
Pada Isnin, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri masih memantau dan melihat keadaan semasa berhubung keperluan untuk mengadakan PRN.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fahysal berkata, kesan pelaksanaan PRN Johor juga perlu dikaji supaya tidak menghilangkan 'kepercayaan' rakyat terhadap pemimpin parti politik ekoran mereka masih dibelenggu kesusahan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perpaduan menegaskan, faktor kepentingan rakyat yang mendesak ketika ini seharusnya diambil kira semua pihak.
"Kalau tidak, orang akan persalahkan parti politik.
Dengan varian Omicron semakin naik, jangan pandang remeh walaupun ada dos penggalak.
"Kita tidak mahu rakyat benci ahli politik. Nanti bila PRU15 peratusan keluar mengundi rendah.
Apa guna kita buat pilihan raya kerana nanti 'back to square one' macam sekarang bergaduh lagi,” ujarnya.
Menurutnya, pilihan raya yang dilakukan sebenarnya adalah untuk menyelesaikan masalah dan bukan untuk menambah masalah.