KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali, 61, meninggal dunia jam 5.45 petang pada Selasa.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) akibat penyakit barah darah.
Berita mengenai kematian Abdul Wahab turut dikongsi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melalui Facebooknya.Menurutnya, Allahyarham seorang insan yang komited dan amanah dalam menjalankan tugas.
"Beliau adalah figura penting dalam membantu saya menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Negeri Pahang.
"Jasa dan bakti beliau akan dikenang buat selama-lamanya. Semoga ALLAH mengampuni segala dosanya, menaikkan darjatnya dan menempatkannya bersama orang-orang yang soleh," katanya.
Allahyarham cukup dikenali dan dihormati pengamal media di negeri ini.
Sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Allahyarham banyak membantu dalam tugasan pengamal media selain sebagai tempat rujukan.
Allahyarham Abdul Wahab yang dilahirkan pada 26 Februari 1961, difahamkan merupakan setiausaha akhbar paling lama pernah berkhidmat sejak tahun 1995, dan bekerja di bawah tiga Menteri Besar Pahang iaitu Tun Mohd Khalil Yaakob, Datuk Seri Adnan Yaakob dan terkini Wan Rosdy.
Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Berita di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 1 September 1984 di ibu pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebelum ditukarkan ke pejabat Biro Pahang sebagai pewarta negeri pada 1 Januari 1989 dan kemudiannya kembali ke ibu pejabat pada 1 Oktober 1994 sebagai Penolong Editor Meja Berita.
Beliau mula dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang secara pinjaman pada 1 Julai 1995 hingga 31 Mei 2006 sebelum bersara pilihan daripada Bernama pada 1 Jun 2006 dan kemudiannya terus berkhidmat dengan Khalil sehingga tampuk kepimpinan negeri diambil alih oleh Adnan pada tahun 1999, sebelum bersama Wan Rosdy sejak 2018.