PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Selasa mengumumkan keputusan undian saingan Piala Presiden dan Piala Belia 2022 yang bakal berlangsung bermula 23 Februari ini.
Bagi kedua-dua pertandingan ini, 20 pasukan dibahagi kepada tiga kumpulan. Kumpulan A (Zon Utara) disertai tujuh 7 pasukan dari Zon Utara dan Timur; Kumpulan B (Zon Selatan) tujuh pasukan dari Zon Selatan, Timur dan Tengah manakala Kumpulan C (Zon Tengah) enam pasukan dari Zon Tengah, Timur dan Borneo.
Iklan
Iklan
Saingan peringkat kumpulan akan berlangsung secara home dan away dari 23 Februari hingga 13 Julai 2022 bagi Piala Belia manakala Piala Presiden (24 Februari hingga 14 Julai 2022) dengan lapan pasukan terbaik iaitu dua pasukan teratas setiap kumpulan dan dua pasukan tempat ketiga terbaik kumpulan akan layak ke Suku Akhir.
Undian untuk menentukan susunan kedudukan pasukan bagi perlawanan peringkat kalah mati bagi kedua-dua pertandingan turut diadakan dengan saingan peringkat kalah mati – suku akhir, separuh akhir dan final akan dijalankan secara home dan away bermula 24 Julai hingga 11 September 2022.
Majlis undian tersebut berlangsung pada penutup Taklimat Pasukan Piala Presiden & Piala Belia 2022 selama dua hari bermula pagi semalam yang dirasmikan Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM dan turut dihadiri Exco FAM, ACP (Bersara) Md Dali Wahid selaku timbalan pengerusi jawatankuasa berkenaan.
Wakil setiap pasukan bertanding terdiri daripada pengurus dan koordinator pasukan telah diberikan taklimat berkaitan kalendar dan peraturan pertandingan, undang-undang permainan, sistem pendaftaran pemain dan pegawai, pemasaran, media, tatatertib dan status pemain serta perubatan. - Bernama
Artikel Berkaitan