PUTRAJAYA - Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terbunuh dalam kejadian tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand sehingga jam 3 petang tadi.
Kementerian Luar berkata, dua rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian itu sedang menerima rawatan di hospital.
Kementerian itu berkata, Malaysia mengutuk keras tindakan keganasan melampau itu terhadap orang awam yang tidak bersalah.
"Kita berharap mereka yang bertanggungjawab atas jenayah kejam ini akan dibawa ke muka pengadilan. Ingatan dan doa kita bersama mangsa serta keluarga mereka yang terbabit dalam kejadian hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: 40 maut kes tembak serangan jemaah masjid New Zealand
Pada jam 1.40 tengah hari waktu tempatan (8.40 pagi waktu Malaysia), kejadian tembakan dilaporkan berlaku di Masjid Al Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, yang mengorbankan 40 orang nyawa dan lebih 20 orang cedera.
Kementerian Luar berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington sedang berhubung dengan rakyat Malaysia di Christchurch dan mengawasi keadaan dengan teliti.
"Talian hotline sudah diwujudkan di Suruhanjaya Tinggi untuk memudahkan sebarang pertanyaan mengenai situasi semasa,” katanya.
Kementerian Luar berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington boleh dihubungi di alamat 10 Washington Avenue, Brooklyn, Peti Surat 9422, Wellington 6021, New Zealand, di talian 00-64-210440188/00-64-4385 2439/00-64-4801 5659 dan emel mwwellington.kln@1govuc.gov.my dan mwwelton@xtra.co.nz