PELANTIKAN bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan selaku Ketua Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya dianggap tepat dan bersesuaian.
Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, pengalaman luas Dell Akbar dalam kancah bola sepak Malaysia memberikan kelebihan kepadanya.
Malah, Zulakbal percaya Dell Akbar yang pernah menggalas tugas sebagai Setiausaha Agung FAM mampu mengetuai badan siasatan bebas itu dengan penuh tanggungjawab dan telus.
"Sebelum ini, kita selalu dengar orang cakap, biarlah sukan bola sepak ini diberikan kepada ‘orang bola’ untuk jaga dan kali ini memang ‘orang bola’ yang akan ketuai badan siasatan bebas itu.
"Beliau (Dell Akbar) memang ‘orang bola,’ bekas pemain kebangsaan, bekas pengurus skuad kebangsaan dan pernah menjalankan tanggungjawab selaku Setiausaha Agung FAM.
"Jadi, beliau tahu bagaimana perjalanan pentadbiran FAM. Sebaik-baiknya kita sebagai peminat bola sepak Malaysia, serahkan tugas ‘menghakimi’ skuad negara kepada beliau,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.
Terdahulu, FAM melantik Dell Akbar bagi mengetuai badan siasatan bebas itu yang terdiri daripada individu-individu yang tidak memegang sebarang jawatan mahupun menganggotai mana-mana jawatankuasa FAM ketika ini.
Mengulas lanjut, Zulakbal menegaskan, badan siasatan bebas berkenaan sepatutnya ditubuhkan lebih awal bagi mengelak sebarang prasangka buruk terhadap FAM.
"Namun, apa yang penting ketika ini adanya individu luar daripada FAM dalam mengemudi bedah siasat itu. Ini membuktikan ketelusan FAM dalam merungkai setiap masalah.
"Biar badan siasatan bebas itu buat kerja mereka. Sampai masa kita akan tahu apa penambahbaikan yang dibuat FAM nanti,” ujarnya yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).