[VIDEO] Tayar kereta ditembak selepas pemandu cuba rempuh polis

Iklan
Mohd Zaidi (dua dari kiri) membuat pemeriksaan Proton Wira yang ditinggalkan suspek dalam kejadian di Jalan Tun Fuad, Kota Kinabalu pada Selasa.

KOTA KINABALU - Anggota polis terpaksa melepaskan tembakan terhadap sebuah kenderaan selepas pemandunya bertindak merempuh pihak berkuasa ketika melarikan diri dalam kejadian di Jalan Tun Fuad, di sini, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, suspek yang juga pemandu bersama dua rakannya dipercayai tiada dokumen pengenalan diri dan cuba mengelak daripada ditahan polis.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian bermula apabila lima individu termasuk seorang wanita berada di dalam kereta jenis Proton Wira ditahan oleh Unit Kereta Peronda (MPV) di Tanjung Aru.

Katanya, penahanan itu berikutan maklumat yang diterima berhubung sepasang suami isteri sedang bergaduh di dalam kenderaan terbabit.

Iklan

"Anggota MPV bertugas mengarahkan semua individu membabitkan empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 34 tahun itu turun dari kenderaan untuk pemeriksaan dokumen.

"Seorang lelaki dan wanita mendakwa mereka adalah pasangan suami isteri memberikan MyKad untuk diperiksa manakala dua lagi individu mendakwa tidak membawa MyKad dan seorang lagi iaitu pemandu memberitahu MyKad miliknya berada di tempat duduk pemandu," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa malam.

Iklan

Bagaimanapun, Mohd Zaidi berkata, tiga daripada suspek termasuk wanita terbabit bertindak masuk semula ke dalam kenderaan itu dan terus memecut laju meninggalkan dua rakannya termasuk suami kepada wanita terbabit.

Katanya, anggota MPV terus mengejar kenderaan berkenaan namun sebaik sampai di Jalan Tun Fuad Stephens yang sesak, pemandu kenderaan bertindak berpatah balik secara berbahaya dan hampir merempuh anggota polis.

"Keadaan itu menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar untuk memberhentikan kenderaan suspek.

"Suspek akhirnya memberhentikan kenderaan di tengah jalan dan terus melarikan diri bersama dua lagi rakannya," katanya.

Tambah Mohd Zaidi lagi, suspek wanita berjaya ditahan di sebuah bilik penginapan di Sinsuran dan siasatan mendapati MyKad yang dibawa adalah milik orang lain.

"Dua lagi suspek masih sedang dikesan, dikenali sebagai Ijam iaitu pemandu Proton Wira berkenaan dan rakannya yang bernama Ali.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan tiga suspek yang ditahan juga akan dipohon reman untuk membantu siasatan lanjut," katanya.

Sebelum itu, kejadian terbabit turut sempat dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian sehingga tular di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Video berdurasi 1.45 minit itu memaparkan sebuah Proton Wira berwarna kuning berhenti di tengah jalan berhampiran sebuah hotel di pusat bandar raya dan terdapat kenderaan polis menyusul di lokasi kejadian.