‘3T’ elak jadi mangsa sindiket penipuan dalam talian

Iklan
DSP Mohd Nor Daud. - Foto Bernama

KANGAR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menasihati orang ramai agar mengamalkan ‘3T’ bagi mengelak daripada menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian.

Ketua Jabatan Jenayah Komersial IPK Perlis, Deputi Superintendan Mohd Nor Daud berkata, amalan 3T iaitu tanya, teliti dan tidak tamak perlu diamalkan oleh orang ramai setiap kali ingin membuat pembelian dalam talian agar tidak berlaku kerugian harta benda.

Iklan
Iklan

"Orang ramai diminta agar sentiasa bertanya sebelum membuat pembelian atau pelaburan dalam talian, sebagai contoh sebelum membuat pelaburan mereka (orang ramai) perlu bertanya tentang nama syarikat, alamat syarikat dan punca pelaburan terlebih dahulu.

"Selain itu, orang ramai perlu ada sikap teliti iaitu menilai sama ada harga ditawarkan adalah munasabah atau tidak, sebagai contoh adalah tidak logik sekiranya barang berjenama dijual pada harga begitu rendah daripada harga pasaran, pasti ada sesuatu tidak kena,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Iklan

Mohd Nor berkata, ‘T’ yang ketiga adalah perlu ada sikap tidak tamak atau mudah teruja dengan harga murah yang ditawarkan oleh penjual sebaliknya bertanya dan membuat perbandingan harga terlebih dahulu.

"Masyarakat juga perlu ingat bahawa jenayah komersial adalah satu jenayah yang unik kerana pelakunya mempunyai kemahiran, pengetahuan dan keyakinan tinggi bagi memperdaya mangsa, oleh itu orang ramai perlu sentiasa berhati-hati ketika membuat pembelian dalam talian,” katanya.

Iklan

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan menjadi ‘keldai akaun’ iaitu memberi maklumat akaun bank.

"Keldai akaun boleh juga dikenakan tindakan undang-undang kerana bersubahat membuat penipuan, oleh itu kita nasihatkan agar mangsa yang menjadi ‘keldai akaun’ segera membuat laporan polis bagi memastikan tindakan diambil,” katanya.

Katanya, orang ramai juga diingatkan supaya tidak mudah memberi nombor akaun bank kepada individu tidak dikenali.

Mohd Nor berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat sindiket penipuan yang menguna kaedah baharu bagi menipu mangsa iaitu membuat panggilan video dengan menyamar sebagai pegawai penguat kuasa.

"Walaupun masih belum ada kes di Perlis, orang ramai dinasihati agar berhati-hati sekiranya menerima panggilan video kerana jabatan kerajaan atau bank tidak pernah menghubungi orang ramai menerusi panggilan tersebut,” katanya. - Bernama