Pengurusan cukai pendapatan bagi pembayar cukai meninggal dunia

Iklan
LHDN

SHAH ALAM - Cukai pendapatan individu merupakan salah satu instrumen penting kepada negara dan menyumbang sekitar 20 peratus sehingga 30 peratus setiap tahun daripada amaun kutipan cukai langsung yang direkodkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negara Malaysia (LHDN).

LHDN dalam satu kenyataan berkata, cukai yang dikutip itu kemudiannya akan digunakan oleh kerajaan untuk membiayai semua projek pembangunan dan meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat.

Iklan
Iklan

"Sebagai rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab kita untuk melapor serta membayar cukai pendapatan ini agar kemakmuran negara dapat dinikmati serta dirasai bersama,” jelas kenyataan itu pada Rabu.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, terdapat persoalan dalam kalangan pembayar cukai, bagaimana cukai pendapatan seseorang individu yang telah meninggal dunia diuruskan oleh LHDN? Adakah ia akan tetap dikutip atau dihapus kira sahaja?

Iklan

"Sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia maka para pewarisnya akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen kewangan si mati termasuklah pengurusan cukai si mati, berdasarkan Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

"Merujuk kepada seksyen ini, ia menyatakan bahawa waris si mati boleh dikenakan taksiran seperti mana taksiran dikenakan atas si mati. Pihak waris atau wasi perlu cakna akan sebarang tunggakan atau lebihan cukai yang ada pada si mati.

Iklan

"Pengetahuan pengurusan cukai si mati ini perlu difahami serta diuruskan dengan sebaiknya bagi memudahkan sebarang urusan kewangan si mati,” kata kenyataan itu.

Bagi individu yang meninggal dunia, taksiran cukai akan dibuat untuk pendapatan yang diterima sehingga tarikh kematian individu tersebut dan taksiran ini akan dibuat atas nama waris yang sah.

Justeru, pendapatan yang diperoleh selepas tarikh kematian tidak akan dianggap pendapatan si mati dan semua pendapatan selepas tarikh kematian akan dianggap sebagai pendapatan harta pusaka individu si mati dan ditaksir atas nama Waris Sah atau Pentadbir Harta Pusaka.

"Satu fail baharu turut akan didaftarkan untuk tujuan menaksir pendapatan harta pusaka si mati. Dari segi kadar cukai yang dikenakan terhadap pentadbir harta pusaka atau waris yang sah pula, ia sama dengan kadar cukai yang dikenakan atas seseorang individu.

"Bagi memudahkan urusan pelaporan pendapatan si mati, waris atau pentadbir harta pusaka wajib melaporkan pendapatan harta pusaka si mati di bawah pentadbirannya dengan menggunakan Borang Nyata Cukai Pendapatan untuk harta pusaka iaitu Borang TP,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menegaskan, sekiranya berlaku cukai tertunggak, waris atau pentadbir harta pusaka si mati perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan tunggakan tersebut daripada harta pusaka si mati.

"Kuasa menuntut cukai tertunggak si mati daripada waris atau pentadbir harta pusaka telah diperuntukkan di bawah Seksyen 74 dan Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967),” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sekiranya waris mahu menuntut lebihan cukai yang telah dibayar oleh simati, mereka boleh membuat tuntutan secara rasmi dengan pihak LHDN amaun lebihan kredit atau cukai terlebih bayar tersebut.

"Waris perlu mengemukakan beberapa dokumen penting yang berkaitan antaranya sijil kematian si mati dan Salinan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet (Grant of Probate) yang diakui sah sama ada oleh Pesuruhjaya Sumpah, Majistret Mahkamah atau kakitangan kerajaan dalam kategori Pengurusan dan Profesional,” katanya.

Menurut kenyataan itu, seseorang pembayar cukai yang meninggal dunia tetap mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan sebarang cukai tertunggak yang ada.

"Ia dianggap sebagai hutang kepada kerajaan dan waris atau pentadbir harta pusaka si mati perlu melaksanakan tanggungjawab tersebut bagi pihak si mati.

"Setiap waris disyorkan agar membuat semakan terlebih dahulu kedudukan cukai si mati dengan pihak LHDN bagi memastikan semua cukai si mati telah dilunaskan sekali gus menjamin kelancaran urusan pembahagian harta pusaka si mati dan sebarang tuntutan wajib yang lain,” kata kenyataan itu.