PEMAIN pinjaman Aston Villa, Philippe Coutinho berazam memanfaatkan kepulangannya ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi membantu Villa meraih lebih banyak kejayaan musim ini.
Malah Coutinho turut menegaskan dia akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pengendali, Steven Gerrard yang juga merupakan bekas rakan sepasukannya ketika beraksi bersama Liverpool, sebelum ini.
"Bagi saya, kehadiran saya di sini (EPL) sebagai satu penghormatan, kerana Aston Villa adalah sebuah pasukan yang hebat.
"Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan Gerrard di mana dia telah memberitahu saya lebih lanjut mengenai kelab ini termasuk cita-citanya.
"Secara keseluruhannya, saya berbangga untuk kembali ke sini (EPL) dan saya akan cuba untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan kejayaan Villa,” katanya.
Coutinho yang beraksi untuk gergasi La Liga, Barcelona sebelum ini, telah disahkan untuk beraksi secara pinjaman dengan Villa minggu lalu.
Malah menurut sumber, pemain Brazil berusia 29 tahun itu juga dijangka menandatangani kontrak selaku pemain tetap kelab berkenaan pada penghujung musim.
Sementara itu Gerrard percaya, kehadiran Coutinho ke Villa Park bakal membantu mengubah ‘perjalanan’ pasukan berkenaan sekurang-kurangnya hingga ke penghujung musim.
"Dia seorang pemain yang cemerlang dengan memiliki banyak rekod kejayaan dan saya gembira dia memilih untuk beraksi bersama kami.
"Secara keseluruhannya, kehadiran Coutinho juga dilihat bakal memberikan banyak manfaat, terutamanya kepada pemain berdasarkan kepada kualiti dan pengalaman yang dimiliki,” katanya.