Aishah bangkit demi anak autisme

Iklan
Aishah bersama anak istimewanya, Aleesya yang sentiasa ceria

PUTARAN hidup Siti Noraishah Ismail, 33, begitu mencabar. Meskipun sukar, dia tetap tabah merentas liku-liku pancaroba.

Wanita jelita itu tidak pernah mengeluh waima bersungut dengan kehendak qada dan qadarnya. Satu persatu ujian menimpanya.

Iklan
Iklan

Benar kata orang, wanita diuji ketika suami tidak berduit. Wanita yang senang disapa Aishah mengakui kehidupan mereka gelap seketika apabila perniagaan online yang diusahakan suami, Mohd Suhaimi Umar jatuh merudum.

"Selepas berkahwin, segalanya memang indah belaka. Namun, tidak disangka-sangka iaitu sekitar tahun 2000, perniagaan online yang dijalankan suami lingkup.

Iklan

"Kami berdepan krisis kewangan yang sangat teruk hingga kami jatuh terduduk. Kami langsung tiada wang ketika itu," katanya berkongsi pengalaman pahit itu kepada wartawan Femina ketika hadir di studio Karangkraf, baru-baru ini.

Akibatnya, dia terpaksa pulang ke kampung halaman dan tinggal berasingan dengan suami sementara waktu bagi meneruskan kehidupan.

Iklan

"Ya, saya terpaksa tebalkan muka pinjam wang daripada ibu dan ayah. Segannya tak terkata.

"Hanya airmata yang menemani saya sepanjang saya berjauhan dengan suami," ujar anak kelahiran Mersing, Johor itu.

Aleesya bersama abangnya, Muhamad Aniq Asyraf ketika beraksi di depan lensa

Anak austisme

Kisah sayu Aishah tidak terhenti setakat di situ sahaja. Plot seterusnya memang terlalu pahit untuk ditelan. Dia dan suaminya, sekali lagi diduga apabila mereka dikurniakan seorang anak istimewa autisme.

"Pada mulanya kami memang tak tahu anak kedua kami, Nur Airis Aleesya atau Aleesya mengalami autisme. Kami mula bimbang bila dia lambat bercakap, dia tidak normal seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya.

"Bila Aleesya berusia tiga tahun, seorang rakan suami menegur perwatakan anak yang kuat tantrum dan gemar menghantuk kepala ke dinding. Selepas didiagnosis, anak kami disahkan autisme," katanya.

Aishah berterus terang, tatkala menerima berita itu, kehidupannya gelap-gelita seketika. Sukar saya nak terima hakikat bahawa Aleesya yang comel itu rupa-rupanya anak istimewa.

"Saya tertanya-tanya, kenapa saya yang diuji sedemikian rupa? Apa salah saya? Setiap hari saya menangis dan menangis. Memang saya ambil masa yang lama untuk terima ketentuan Ilahi ini.

"Sampai satu tahap, saya penat dan tak tahu apa nak buat. Akhirnya saya reda dan percaya ini ujian ALLAH buat saya dan pasti ada hikmah di sebaliknya," ujarnya sambil mengesat air mata yang mengalir laju membasahi pipinya.

Aisyah berkata, beliau mengambil keputusan menghantar Aleesya yang kini berusia enam tahun bertemu pakar dan mengikuti kelas terapi selain menghantarnya ke sekolah khas autisme.

Keajaiban berlaku apabila selepas dua bulan, anak istimewa itu sudah boleh berdikari sendiri. Yang paling menggembirakan, Aleesya sudah boleh menyebut perkataan mama dan papa.

"Ya, itu perkataan pertama disebutnya. Kami tak akan lupa sampai bila-bila kerana ia saat yang sangat kami nantikan sejak dia dilahirkan lagi," katanya sambil memberitahu kos menguruskan anak itu tinggi mencecah kira-kira RM2,000 sebulan.

Ekzema pada bahagian wajah Muhamad Ariq Aryan semakin pulih

Anak bongsu diuji dengan ekzema

Dia sekali lagi diduga apabila anak bongsunya, Muhamad Ariq Aryan yang kini berusia dua tahun mengalami ekzema yang teruk ketika dilahirkan. Ekzema ialah sejenis penyakit kulit yang menyebabkan radang, gatal, kering, mengelupas, kemerahan dan bersisik.

"Ekzemanya sangat teruk hingga raut wajahnya terjejas. Mukanya jadi merah dan kerap berdarah bila terkena jari atau kukunya.

"Jadi, kami kena jaga dia 24 jam, kena bedung tangan dan badannya supaya tangan dia tidak menyentuh muka. Alhamdulillah, sekarang kulit wajahnya semakin pulih selepas pelbagai rawatan dilakukan," katanya. Aishah menghela nafas lega.

Dengan nada hiba, dia mengakui sesungguhnya dua anak yang bermasalah ini sebenarnya petanda rahmat untuknya. Mengapa dia berkata demikian?

Wanita hebat itu berkata, kos rawatan kedua-dua anaknya yang tinggi hingga di luar kemampuannya telah menjadi inspirasi kuat buatnya untuk bekerja lebih keras.

"Ya, dugaan untuk anak-anak ini jadi asbab buat saya dan suami hingga kami berada di kedudukan yang sangat baik sekarang. Mereka bagi inspirasi buat kami," kata graduan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Bahasa Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pengalaman dan ujian yang dilalui membuatkan Aishah menjadi seorang yang cekal dan tabah

Perniagaan biayai kos anak

Menurut Aishah, pada tahun 2015, beliau dan suami menjalankan perniagaan kecantikan yang memberi tumpuan kepada rawatan kulit buat wanita.

"Syukur, perniagaan kami semakin diterima. Melalui perniagaan ini juga, kehidupan kami lebih baik," kata ibu kepada empat cahayamata itu.

Berbekalkan pengalaman berharga lalu, beliau turut memasang azam mahu menubuhkan sebuah sekolah khas buat kanak-kanak autisme menggunakan sedikit keuntungan daripada hasil perniagaannya.

"Jika dulu saya memberontak kerana dianugerahkan anak-anak istimewa, kini tidak lagi. Reda itu satu anugerah. Dugaan buat kami sebagai pencetus kejayaan.

Kepada ibu bapa yang mempunyai nasib serupa seperti saya, jangan menafikan kehadiran mereka dan jangan sesekali berasa malu memiliki anak seperti ini.

"Jangan juga pentingkan diri sendiri, hantar mereka ke pusat pendidikan khas sama ada kerajaan mahupun swasta. Percayalah mereka sebenarnya bawa rezeki untuk kita," katanya.

Hasil perkahwinannya dan suami, mereka dikurniakan empat cahayamata iaitu Muhamad Aniq Asyraf, 8; Nur Airis Aleesya, 6; Nur Airen Alia, 5 dan Muhamad Ariq Aryan, 2.

Aishah dan suami kini bahagia bersama empat cahayamata mereka yang comel