KOTA BHARU - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu membatalkan waran tangkap terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang tular selepas mendakwa menerima ugutan daripada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur.
Hakim Zaman Mohd Noor membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, pembelaan dan pendakwaan terhadap tertuduh, Mohammad Zahir Abdullah Shahaimi, 30.
Beliau turut memberi peringatan kepada pihak pendakwa supaya membuat permohonan secara formal terhadap sebarang perubahan tarikh berkaitan kes mahkamah bagi mengelak masalah sama berulang.
"Mahkamah mengambil kira permohonan tertuduh agar tidak diganggu oleh SPRM, namun berdasarkan aduan balas daripada SPRM, mahkamah mendapati itu merupakan bidang kuasa serta tanggungjawab suruhanjaya itu untuk melaksanakan siasatan kes berkenaan.
"Saya bagaimanapun menerima penjelasan atas ketidakhadiran tertuduh pada tarikh 10 Januari 2022 (Isnin lalu) dan waran tangkap kepada tertuduh serta notis kepada penjamin dibatalkan,” katanya.
Sebelum itu, waran tangkap terhadap tertuduh dikeluarkan oleh mahkamah berkenaan pada Selasa akibat kegagalannya menghadirkan diri ke mahkamah itu pada Isnin lalu seperti yang diminta oleh SPRM sedangkan pada masa sama tertuduh tidak menerima sebarang makluman perubahan berhubung tarikh asalnya perbicaraan yang ditetapkan pada 3 sehingga 7 Julai ini.
Mohammad Zahir diwakili peguam bela, Muhammad Hasif Hasan manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali.
Muhammad Hasif dalam pembelaannya berkata, tertuduh ditangkap pada Selasa selepas tidak hadir ke mahkamah pada Isnin kerana ketika itu berada di balai polis Salak Tinggi, Sepang, Selangor bagi membuat laporan berhubung kes ugutan yang didakwa dilakukan oleh SPRM.
"SPRM dikatakan meminta tertuduh hadir ke mahkamah pada Isnin lalu sekiranya hendak mengaku salah tetapi tertuduh tidak datang kerana tidak mahu mengaku salah atas tiga pertuduhan rasuah dihadapi sebelum ini menyebabkan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
"Tertuduh sebaliknya membuat laporan polis kerana didakwa diugut oleh pegawai-pegawai SPRM dan dakwaan ini perlu disiasat,” katanya.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 21 Februari depan dan mengekalkan jaminan RM9,000 yang dijelaskan tertuduh sebelum ini.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan kakitangan awam yang bertugas di Kuala Lumpur membuat laporan polis mendakwa dirinya diugut dan dipaksa oleh SPRM supaya mengaku bersalah pada tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang dituduh di Mahkamah Kota Bharu pada 1 April tahun lalu.
Masalah dikatakan timbul apabila peguam yang dilantik tertuduh sebelum ini meninggal dunia pada November tahun lalu menyebabkan kesnya ditunda hingga Julai depan untuk dibicarakan.