Hijau Kuning bakal tampil skuad lebih bertenaga

Iklan
Aidil Sharin (dua dari kiri) ketika sesi latihan KDA FC di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada petang Selasa.

KEHADIRAN ramai pemain muda ke dalam Kedah Darul Aman (KDA) FC menyaksikan pasukan tersebut bakal tampil dengan corak permainan berbeza pada musim 2022.

Menurut pengendalinya, Aidil Sharin Sahak, pasukannya kehilangan sehingga sembilan pemain utama pada musim lalu, namun beliau tidak gusar kerana kehadiran pemain muda berbakat yang dahagakan kejuaraan mampu memberikan impak positif kepada Hijau Kuning.

Iklan
Iklan

"Saya melihat pasukan baharu ini lebih bertenaga. Kita boleh lihat beberapa muka baharu, antaranya dari pasukan Penang FC, Perak FC dan skuad Piala Presiden Kedah di mana mereka merupakan pemain muda yang bertenaga dan mampu menerapkan corak baharu bersama pemain import lain.

"Mereka juga dahagakan kejayaan dan pencapaian untuk merangkul piala kejuaraan kerana belum pernah memenangi sebarang kejuaraan bersama pasukan dahulu," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada petang Selasa.

Iklan

Aidil Sharin berkata, beliau tidak menafikan berdepan cabaran sukar terutama untuk membawa perubahan dalam tempoh singkat apabila KDA FC dibarisi ramai muka baharu.

Aidil Sharin Sahak

Menurutnya, perubahan yang mahu dibawa itu akan tetap mengambil masa dan beliau berharap semua pemain cepat serasi di antara satu sama lain termasuk faham dengan corak permainan diterapkan pada musim ini.

Iklan

"Saya menjangkakan dua atau tiga perlawanan permulaan nanti akan ada perbezaan kerana berbanding musim lalu, kita banyak mengekalkan pemain musim 2020.

"Bagi musim ini pula, lapan hingga sembilan pemain lama dalam kesebelasan utama sudah tidak lagi bersama pasukan. Pastinya, setiap musim akan ada cabaran besar dan lebih sukar buat saya terutama apabila melibatkan pemain baharu," ujarnya.

KDA FC pada musim ini telah membawa masuk Al Hafiz Harun, Khairu Azrin, Azmeer Aris dan Amer Azhar dari Penang FC, manakala Amirul Azhan pula dari Perak FC.

Kelab itu juga menyenaraikan pemain dari Piala Presiden ke skuad utama iaitu Fikhri Zulkiflee, Afeeq Iqmal, Heshamuddin Ahmad, Kamil Akmal dan Fareez Fadzil.

Bagi senarai pemain import pula, KDA FC bakal mengumumkan tiga lagi pemain baharu dalam tempoh terdekat selepas mendapatkan bekas pemain Melaka United FC, Jang Suk Won dari Korea Selatan dan bekas pemain Terengganu FC dari Ivory Coast, Dechi Marcel.