Maszlee patut berterima kasih pada Menteri Pendidikan: Hishamuddin

Iklan
Tangkap layar Facebook Hishamuddin pada Rabu.

SHAH ALAM - Setiausaha Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hishamuddin Abdul Karim menyelar kenyataan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang menggesa kerajaan melihat isu obesiti dalam kalangan murid sekolah dari sudut lebih luas.

Hishamuddin berkata, sebaliknya Maszlee perlu berterima kasih kepada Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin kerana telah menangani hal yang gagal diuruskannya ketika memegang jawatan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Saya lihat Maszlee Malik begitu banyak bercakap mengenai isu pendidikan. Semasa jadi menteri dulu, kenapa tak mahu buat?

"Yang terbaru, Maszlee bercakap seolah-olah dia lebih tahu kaedah untuk menangani obesiti di kalangan pelajar sekolah. Sepatutnya Maszlee ucapkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan sekarang kerana telah mula menangani hal yang Maszlee gagal uruskan semasa berkuasa," katanya dalam laman Facebook pada Rabu.

Iklan

Memetik laporan portal FMT pada Selasa, Maszlee menggesa kerajaan melihat isu obesiti dalam kalangan murid sekolah dari sudut lebih luas.

Katanya, masalah obesiti agak membimbangkan dan penekanan pada usia muda harus diberikan dalam menerapkan amalan sihat seperti senaman dan pengambilan makanan berkhasiat.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada laporan Kementerian Pendidikan yang akan melaksanakan pemeriksaan indeks jisim badan (BMI) ke atas murid sekolah berusia lima hingga sembilan tahun bagi menangani masalah obesiti di negara ini.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut menyelar tindakan Maszlee yang sebelum ini melaksanakan pemakaian kasut hitam bagi semua murid sekolah.

"Semasa Maszlee jadi Menteri Pendidikan, dia hanya tahu nak tukar kasut hitam dan rakus nak jadi Presiden UIA sahaja.

"Tidak ada pencapaian tulin semasa Maszlee menjadi menteri. Hanya tahu bercakap sahaja. Nama Maszlee tercatat dalam sejarah kebangsaan sebagai satu-satunya Menteri Pakatan Harapan (PH) yang dipecat, jadi Maszlee tak perlulah menunjuk pandai dalam mengurus dasar pendidikan.

"Sedarlah bahawa kena pecat itu maksudnya tidak kompeten dan tidak tahu buat kerja Menteri Pendidikan. Inilah bezanya Maszlee dengan Menteri Pendidikan hari ini. Maszlee hanya tahu bercakap, tetapi Menteri hari ini bekerja," ujarnya.

Sementara itu Maszlee ketika dihubungi melabelkan Hishamuddin sebagai 'bodoh'.

"Dia (Hishamuddin) tidak tahu apa-apa mengenai kesihatan dan pendidikan. Kita perlukan pakar untuk bercakap mengenainya," katanya ringkas.