[VIDEO] Bencana lebih buruk jika gagal tangani kemusnahan hutan

Iklan
Shariffa Sabrina ketika ditemu bual Johan Jaaffar pada Rabu.

SHAH ALAM - Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka) percaya bencana lebih buruk akan berlaku pada masa akan datang jika kerajaan tidak serius menangani isu kemusnahan hutan.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, hutan di Malaysia hanya tinggal kurang 18 peratus sahaja termasuk di Banjaran Titiwangsa.

Iklan
Iklan

"Kemusnahan hutan di Malaysia pada peringkat yang amat serius. Kalau beri 10 skala kemusnahan, Malaysia pada tahap yang kelima," katanya ketika ditemu bual Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar selaku moderator Program Bersama Johan Jaaffar di sini pada Rabu.

Shariffa Sabrina mengakui kesedaran masyarakat mengenai alam sekitar mula menonjol selepas banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di Lembah Klang baru-baru ini.

Iklan

"Manusia sudah terhantuk baru hendak tergadah, tapi masih belum terlambat. Kerajaan mampu mengubah semua itu kalau ikut tiga cara iaitu tukar akta sedia ada, laksanakan moratorium balak selama 20 tahun dan bayar pampasan balik kepada negeri yang rugi kerana kehilangan punca pendapatan melalui cukai dan gazetkan hutan di Banjaran Titiwangsa," ujarnya.

Beliau yang sebelum ini antara aktivis yang lantang bersuara mengenai kepentingan menjaga hutan dan sungai turut merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menghentikan pembalakan dan pembukaan hutan yang hanya membawa malapetaka.

Iklan

Menurut Shariffa Sabrina, sungai jejas kerana pokok-pokok di tepi sungai turut ditarah dan mengabaikan aspek 'buffer zone'.

"Kalau sungai lebar 10 meter, 'buffer zone' mesti 20 meter. Kalau nak potong balak, jangan sampai potong yang tepi sungai," katanya.

Kata Shariffa Sabrina lagi, rakyat tidak dapat faedah apa pun, sebaliknya yang kaya adalah orang kayangan dan tauke balak.

"Mereka hanya mahu jadikan hutan sebagai lubuk duit.

"Rakyat kena bangkit, tengok macam Singapura bina bangunan tapi tiap-tiap penjuru tanam pokok. Ada pernah dengar Singapura banjir? Kerajaan Thailand juga sekarang sudah tidak benarkan pembalakan.

"Hutan kita semakin mengecil, kalau gazetkan banjaran Titiwangsa, Insya-ALLAH boleh diselamatkan. Akta sedia ada sejak tahun 1984 tak pernah ditukar. Biarkan tugas penguatkuasaan hutan ini diberikan kepada kerajaan Persekutuan bukan kerajaan negeri," katanya.

Tambah beliau, Peka dan Angkatan Belia Islam (ABIM) telah mengumpul 200,000 tandatangan petisyen mengenai isu berkenaan, namun kerajaan masih berdiam diri dan tidak memberikan sebarang respons.