BUTTERWORTH - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang telah menghantar permohonan bagi sebuah menara tinjau baharu untuk menggantikan menara tinjau yang tumbang akibat hakisan tanah di Pantai Batu Ferringhi, dekat sini Jumaat lepas.
Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Ishak Mohd Radzi berkata, kewujudan menara tinjau itu penting bagi memantau aktiviti orang ramai di kawasan pesisir pantai berkenaan, memandangkan lokasi tersebut merupakan antara tumpuan pelancong ketika ini.
"Pihak kami telah menghantar permohonan menara tinjau baharu di Pantai Batu Ferringhi ke pejabat Ketua Menteri dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut, ia (menara) penting kerana APM boleh membuat tinjuan orang ramai di situ.
"Sekarang ini kami telah diberikan satu gazebo untuk kegunaan anggota APM berteduh, ketika membuat pemantauan dan pemerhatian di kawasan pantai Batu Ferringhi yang memang menjadi tumpuan pengunjung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pembukaan latihan untuk tahun 2022 di pejabat APM daerah Seberang Perai Utara (SPU), di sini pada Rabu.
Pada Jumaat lepas, sebuah menara pemantau APM Pulau Pinang yang terletak di kawasan Pantai Batu Ferringhi, tumbang kira-kira 3.40 petang dipercayai akibat hakisan pantai namun tiada kecederaan atau kemalangan dalam kejadian tersebut.
Mengulas lanjut, Ishak berkata, ketika ini kerja-kerja membersih dan merobohkan sepenuhnya menara tinjau yang tumbang itu telah dijalankan sejak Isnin lepas.
"Sebenarnya menara tinjau itu bukan milik kita sepenuhnya dan kita hanya dibenarkan beroperasi di situ. Jadi, kita tak boleh buat (menara tinjau baharu) itu sendiri,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan peranan yang dimainkan oleh APM Pulau Pinang dalam membantu kerajaan menangani Covid-19 untuk tempoh hampir dua tahun yang lepas.
Katanya, meskipun terdapat hampir 10 pertambahan tugasan baharu terutamanya berkaitan Covid-19 sepanjang tempoh berkenaan, namun ia berjaya dilaksanakan dengan baik dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dengan kekuatan anggota yang sedia ada.
"Sebelum ini tugasan rasmi atau hakiki APM ialah membantu dalam kes-kes kemalangan, pokok tumbang dan sebagainya, kini tugas anggota APM lebih menyeluruh termasuk terlibat dalam mengawal pintu masuk sempadan negeri dan antarabangsa, menjaga pusat kuarantin, menjadi ejen pembasmi Covid-19 dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, ketika ini, terdapat kira-kira 1,000 pegawai anggota APM di seluruh Pulau Pinang dan jumlah itu tidak termasuk anggota pasukan tindak balas kecemasan pertahanan awam (CDERT) serta lain-lain. - Bernama