Dua pemuzik berbakat dalam pembikinan

Iklan
WAN

DUA sahabat baik ini mudah untuk memberi kerjasama. Sebaik penulis menghubungi Mohd Najib Mohd. Nor, 39, atau mahu disapa Najib, beliau terus mengajak penulis ke studio muzik, Sarang Suara di Seri Kembangan, Selangor.

Sarang Suara umpama rumah kedua lelaki ini bersama teman yang juga rakan seperjuangannya, Ahmad Nuredzuan Zaizi atau Wan.

Iklan
Iklan

"Di sini tempat kami mencurahkan idea muzik kami. Muzik ibarat perumpamaan isi dan kuku, memang kami tak boleh berpisah dengan muzik,” kata Najib penuh kesungguhan.

Bicara kami pada petang itu terus rancak. Rupa-rupanya ada banyak kisah yang dileraikan oleh kedua-dua personaliti pada minggu ini.

Iklan

Penulis memulakan kisah Najib terlebih dulu. Menariknya tentang lelaki graduan jurusan Fotografi dari Universiti Teknologi MARA ini, beliau langsung tiada asas dalam bidang muzik. Ironinya, minat telah mengatasi segala-galanya.

NAJIB

"Saya memang tidak belajar tentang not muzik ataupun sebarang peralatan dari mana-mana institusi awam atau swasta di negara. Namun, kecintaan saya terhadap gema muzik lahir sejak kecil.

Iklan

"Pada zaman remaja, saya suka main muzik dan sering menyertai kugiran band. Ketika itu, saya dan kawan-kawan seperti Wan dan Faris Aydeen telah tubuhkan band kami sendiri. Sejak dulu, kami bertiga memang ada pasang impian untuk membuka sebuah studio,” ujar Najib sambil Wan mengiakan pernyataan daripada sahabatnya itu.

Pun demikian, manusia hanya merancang, ALLAH yang menentukan. Seperti yang disuratkan, Faris meninggal dunia pada tahun 2009.

Enggan menoleh ke belakang, Najib dan Wan tetap meneruskan hasrat itu dan niat membuka studio muzik itu berjaya direalisasikan pada tahun 2017.

Bagaimana pula dengan cerita Wan? Wan sedikit berbeza kerana ilmu tentang muzik penuh di dadanya.

WAN

Lelaki berusia 39 tahun ini yang pernah mengikuti program Komposisi Muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Kolaborasi kebolehan Najib dan Wan barangkali berupaya menyuntik suasana yang lebih segar dan luar biasa dalam dunia seni tanah air.

SARANG SUARA

Studio milik Najib dinamakan Sarang Suara. Kenapa memilih nama berkenaan?

Menjawab pertanyaan itu, Najib memberitahu, beliau mahu menjadikan studio itu sebagai payung yang menyatukan vokalis, peminat muzik termasuk sesiapa sahaja yang mahu bermain alat muzik atau istilah lebih mudah, jamming.

Sarang Suara juga menyediakan servis seperti lagu terbitan iklan, mempakej lagu baharu, klip video termasuk menerbitkan lagu untuk individu dan kumpulan.

Studio berkenaan juga lengkap dengan segala peralatan muzik. Antaranya gitar, dram, piano, set lengkap rakaman lagu, pembesar suara, Digital Audio Workstation dan banyak lagi. Keluasan bilik studio juga memuaskan dengan kedap bunyi.

Kedua-dua berkebolehan bermain kesemua instrumen muzik kecuali jenis tiupan.

"Sarang Suara dibuka hingga lewat malam kerana kami memahami rata-rata penggemar muzik suka jamming pada waktu begini,” kata Wan.

Kepada anda yang berkebolehan membuat lagu tanpa reti bermain instrumen, Najib dan Wan sedia membantu.

"Ada di antara klien kami, dalam kepala mereka dah ada melodi lagu termasuk lirik tetapi tak pandai bermain (muzik), kami telah menolong dengan menterjemahkan idea mereka ke dalam susunan muzik yang menarik. Jadi, mereka yang mempunyai hasrat untuk buat lagu sendiri, jom ke Sarang Suara,” katanya.

STUDIO Sarang Suara memiliki hampir semua instrumen muzik.

Nampaknya, Sarang Suara berpotensi untuk maju ke hadapan.

Masakan tidak, setakat artikel ini ditulis, kedua-dua lelaki ini telah mengeluarkan 50 buah lagu atas permintaan klien mereka.

BANTU ARTIS

Najib dan Wan memberitahu Oh! Lelaki, Sarang Suara sebenarnya telah berjaya menghasilkan mini album untuk lima artis malar segar iaitu Mac Rahayu, Azie atau Roeziah Mustapha, Haslinda, Norlie Tamam dan Adilla yang bakal membuat comeback tidak lama lagi.

"Kami memainkan peranan sebagai penyusun muzik dan rakaman sepenuhnya dibuat Sarang Suara.

"Jadi kepada semua artis tidak kira baharu atau lama, mari bertandang ke studio kami. Kami bersedia membantu menghasilkan lagu, melodi, lirik dan sebagainya. Studio kami juga boleh membuat live recording.

"Sudah semestinya juga harga kami amat berpatutan berbanding yang ditawarkan oleh syarikat muzik yang lain,” kata Najib.

KEPADA artis yang ingin merakam lagu atau mempunyai idea membuat lagu, Najib dan Wan boleh membantu menterjemahkan idea anda!

Selain itu, menariknya tentang dua pemuzik ini, selain orang perseorangan, mereka berdua juga telah mencipta lagu untuk beberapa syarikat pengiklanan, organisasi kementerian yang mahukan sebuah lagu mengikut keperluan masing-masing.

"Alhamdulillah, kami bersyukur dengan rezeki daripada ALLAH SWT. Kami harap dapat menyumbang sesuatu yang bermanfaat dalam industri muzik negara,” kata mereka senada.

Semoga Najib dan Wan akan terus berjaya. Mana tahu suatu hari nanti mereka memiliki artis di bawah label Sarang Suara!