Rancaknya sindiket sijil vaksin palsu

Iklan
Kelonggaran lebih banyak SOP oleh kerajaan termasuklah rentas negeri dan rentas negara menyebabkan permintaan terhadap sijil vaksin palsu kembali rancak.

SEJAK Julai lalu, wartawan Sinar Harian telah pun membongkar mengenai kegiatan sindiket penjualan vaksin yang menawarkan sijil palsu pada harga sekitar RM800.

Dalam laporan khas tersebut wartawan Sinar Harian yang menyamar memasuki klinik dan pusat pemberian vaksin mendedahkan mengenai adanya pihak dalam yang bersekongkol dalam aktiviti tersebut.

Iklan
Iklan

Pada waktu itu, permintaan terhadap sijil vaksin masih kecil memandangkan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih diperingkat awal.

Berikutan siri pendedahan itu, pihak berkuasa difahamkan mula menjalankan siasatan malah wartawan Sinar Harian sendiri turut dirakam keterangan dengan telefon bimbit wartawan turut diambil pegawai penyiasat.

Iklan

Difahamkan ada pihak yang telahpun ditangkap berikutan kegiatan tersebut pada waktu itu.

Bagaimanapun dengan kelonggaran lebih banyak SOP oleh kerajaan termasuklah rentas negeri dan rentas negara, maka permintaan terhadap sijil vaksin palsu kembali rancak.

Iklan

Kali ini kegiatan penjualan vaksin palsu kembali diperkatakan apabila pihak berkuasa mendapati ada dalam kalangan jemaah umrah dan pengembara ke luar negara yang positif Covid-19 tetapi tidak pernah mengambil vaksin.

Akhirnya sejak Isnin lalu, satu demi satu pembongkaran lebih mengejutkan mengenai betapa berleluasanya aktiviti penjualan vaksin palsu di negara ini.

Walaupun dua sindiket telah ditumpaskan, pihak berkuasa tidak wajar berpuas hati. Ini kerana tidak mustahil lebih banyak doktor atau sukarelawan di negeri lain yang gelap mata sanggup menjual vaksin palsu demi mendapatkan wang besar.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga wajar mengambil tindakan segera bagi memastikan tiada klinik menyalahgunakan kemudahan yang diberikan kepada mereka. Dan persoalan yang lebih besar kini adalah sejauh mana tepatnya jumlah statistik penerima dua dos vaksin.

Ini kerana adakah kita telah mengira sekali individu yang memiliki sijil vaksin palsu itu dalam statistik penerima lengkap dua dos vaksin?