Cemerlang anak kerana acuan ibu bapa

Iklan
Azlan (kanan) melihat Yusna Asna menebar roti canai di gerai makanan keluarganya berhampiran persimpangan lampu isyarat Balai Baru, Padang Besar pada Ahad. Turut kelihatan Ruslin (kanan).

MELENTUR buluh biarlah daripada rebungnya. Semua anak kita hebat dan mampu menyerlahkan bakat mereka jika gaya asuhan serta acuan diberikan oleh ibu bapa betul.

Nama Yusra Asna Ruslin berusia tujuh tahun dari Padang Besar, Perlis menjadi bualan minggu ini selepas videonya yang cekap menebar roti canai tular di media sosial.

Iklan
Iklan

Gaya asuhan yang tegas oleh bapanya, Ruslin Meli, 46, dan Yuwita Shuib, 36, tetapi penuh kasih sayang secara tidak langsung membentuk karakter Yusra Asna yang mahu membantu orang tuanya di gerai makan.

Ditanya jam berapa Yusra Asna bangun setiap hari sepanjang tiga minggu cuti sekolah baru-baru ini untuk membantu ibu bapanya di gerai milik keluarganya berhampiran persimpangan lampu isyarat Balai Baru, jawabnya jam 4 pagi.

Iklan

Bukan mudah bangun seawal itu jika tidak dididik dengan komitmen, tekad tinggi dan kesungguhan bagi mencapai sesuatu tujuan atau objektif mahu menjadi insan berjaya.

Selepas tiga bulan 'berguru' dengan ibu bapanya, kini anak cilik itu sudah mampu menebar kira-kira 60 keping roti canai sehari. Sebuah meja khas turut disediakan di sebelah meja bapanya agar kerja-kerja menebar roti canai tidak terganggu.

Iklan

Pelanggan yang datang seronok melihat kecekapan Yusra Asna, malah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man tidak melepaskan peluang bersarapan pagi di gerai berkenaan sambil memberikan kata-kata semangat kepada Yusra Asna.

Azlan percaya anak kecil itu mampu menjadi usahawan berjaya berdasarkan kesungguhan dan minatnya dalam dunia perniagaan. Sokongan ibu bapanya mampu membentuk karakter kanak-kanak tersebut untuk lebih cemerlang pada masa hadapan.

Janganlah pula beranggapan Yusra Asna tidak dibenarkan keluar bermain kerana sebaik sahaja waktu perniagaan tamat jam 11 pagi, dia dilihat bermain bersama seorang kawannya berhampiran gerai.

Isnin lalu, Yusra Asna kembali memulakan sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tunjong. Aktiviti menebar roti canai kini dilakukan pada hujung minggu.

Itu salah satu kisah inspirasi yang boleh kita ambil pengajarannya. Sebenarnya banyak kisah semangat luar biasa golongan kanak-kanak yang mungkin kita tidak tahu atau tidak menyedarinya.

Penulis tertarik dengan kata-kata bapa Yusra Asna. Katanya, dia dan isteri tidak memaksa anaknya itu menebar roti canai kerana tujuan asal mereka membawa anak-anak ke gerai adalah untuk mengurangkan masa anak-anak bermain dengan telefon bimbit sepanjang waktu.

Bukan sahaja Yusra Asna, malah anaknya yang berusia lapan tahun dan 14 tahun turut membantu mereka di gerai makan yang diusahakan sejak 2009.

Ruslin berkata, usahanya itu menampakkan kejayaan kerana anak-anak tidak lagi menghabiskan masa dengan gajet, sebaliknya timbul pula minat membantu menebar roti canai.

Walaupun pada awalnya agak keberatan, namun sikap Yusra Asna yang tidak berputus asa untuk belajar akhirnya melembutkan hati Ruslin untuk memberikan tunjuk ajar menebar roti canai dengan betul.

Kehadiran Yusra Asna dan anak-anak di gerai sedikit sebanyak dapat membantu mereka menguruskan pelanggan dan paling penting, semua anak-anak sentiasa di hadapan mata tanpa rasa bimbang.

* Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor ialah wartawan Sinar Harian Utara