RANTAU PANJANG - Seorang gadis orang kurang upaya (OKU) tekad menabung bagi membeli sebuah motosikal elektrik roda tiga untuk kegunaannya berulang-alik berniaga di sebuah kedai runcit di Kampung Putat 7, di sini.
Mastura Deraman, 33, yang merupakan anak keempat daripada 10 beradik itu membantu perniagaan kedai runcit secara kecil-kecilan milik ibunya di kampung berkenaan.
Hanya mampu berjalan dengan keadaan mengiring ke kiri tidak mematahkan semangat Mastura untuk keluar berniaga seawal jam 8 pagi bagi memastikan keperluan orang kampung tidak tergendala.
Sebelum ini, dia hanya berjalan ke kedai berkenaan dengan jarak 300 meter dari rumahnya memandangkan tidak mampu untuk memandu motosikal mahupun kereta.
Namun atas inisiatif membuat tabungan daripada sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diperoleh, Mastura akhirnya dapat membeli sebuah motosikal khas untuk memudahkan pergerakkannya keluar berniaga.
"Saya beli dengan duit simpanan daripada JKM dan ada sikit-sikit gaji yang ibu saya bagi. Bolehlah beli motosikal itu, harga pun tidaklah mahal.
"Saya ambil masa seminggu juga untuk membiasakan diri memandu motosikal berkenaan kerana sebelum ini tidak pernah bawa motosikal atau kereta macam orang lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kedainya di sini pada Rabu.
Walaupun pendapatan berniaga kedai runcit tidaklah seberapa, namun semangat juang dirinya menjadi kekuatan Mastura meneruskan kehidupan dengan serba kekurangan.
Katanya, dengan cara itu sahaja dia dapat meringankan beban kedua ibu bapanya dan tidak pernah meletakkan kecacatan sejak lahir itu menjadi alasan untuk dia berjaya.
"Saya menanam cita-cita tinggi untuk berjaya seperti orang lain, namun buat masa sekarang, sampai tahap ini sahajalah dahulu.
"Alhamdulilah dengan apa yang ALLAH berikan. Dengan perniagaan secara kecil-kecil ini dapatlah juga saya merasa bekerja seperti orang lain. Saya percaya rezeki ALLAH itu ada di mana-mana, dengan pelbagai cara," katanya.